Mahathir Macam Dinosaur, Roti Gardenia Expired dan Pemain Bola Sepak Tua

Dalam satu ceramah di Masjid Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah, Datuk Shamsuri Ahmad telah bercakap mengenai tajuk `Bila Sudah Tua’. Beliau memberi contoh apa yang dimaksudkan dengan tua, iaitu apabila sudah berusia 90 tahun tetapi masih disuruh menjadi Perdana Menteri.

Menurut Shamsuri, walau macam mana bijaknya seseorang itu bercakap atau otak bergeliga, tetapi apabila sudah tua maka tua itu membawa kepada binasa. Umpama roti Gardenia yang sudah expired (luput tarikh), sudah tentu kita tidak akan membelinya kerana ia tidak boleh disimpan.

Malah kata Shamsuri, semakin tua semakin dekat dengan kematian dan tarikh luput bagi manusia merupakan tarikh kematiannya.

“Tua adalah penyakit yang tiada ubat,” kata Shamsuri dalam satu klip video yang kini menjadi tular.

Meskipun Shamsuri tidak menyebut nama pengerusi Pakatan Harapan, Dr. Mahathir Mohamad, namun semua tahu bahawa beliau dicalonkan semula oleh PH untuk menjadi Perdana Menteri.

Sejak Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri PH, pelbagai gelaran diberikan kepadanya. Sebelum gelaran roti Gardenia expired, beliau telah digelar sebagai dinosaur disebabkan faktor usianya itu.

Ada penulis yang menyindir Mahathir sebagai dinosaur politik. Dinosaur lain telah pupus tetapi dinosaur yang ini tidak mahu pupus. Malah kata penulis itu, Mahathir dikatakan mendahului senarai dinosaur yang enggan bersara walaupun selepas memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Bukan itu sahaja, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah juga pernah mengumpamakan Mahathir sebagai pemain bola.

“Walaupun dia ada jasa dan peminat sendiri, tetapi bagi saya, zaman dia sudah berlalu. Kita ambil contoh pemain bola yang hebat, apabila zaman dia berlalu, orang sudah tidak pilih dia bermain untuk pasukan.

“Dalam konteks Dr. Mahathir ini pun sama. Bila sampai satu tahap, orang sudah tidak pilih kerana zaman dia sudah berlalu,” kata Mohd. Amar ketika mengulas mengenai pencalonan semula Mahathir sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan.

Dengan pelbagai gelaran yang diberikan ini, sudah cukup membuktikan bahawa sebahagian besar rakyat menolak Mahathir sebagai Perdana Menteri semula.

Mahathir sudah 22 tahun memerintah Malaysia tetapi malangnya beliau masih mahu menjadi lagi Perdana Menteri dan sanggup bertanding pada pilihan raya umum ke-14 kali ini.

Berilah peluang kepada orang lain untuk memerintah walaupun hakikatnya Mahathir hanya akan memegang jawatan itu untuk sementara sahaja.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.