Hina Rela, Shafie Apdal Dikecam Hebat

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini menerima kecaman ramai selepas memperlekehkan tugas dan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) apabila mengganggap pasukan beruniform itu hanya pandai menjaga trafik ketika kenduri.

“Orang Rela bukan pandai pakai senapang, tidak tahu menembak, tidak belajar macam mana pakai bom. Yang dia tahu kalau ada kenduri, dia jaga trafik,” katanya ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah, beberapa hari lepas.

Beliau berkata demikian ketika mempersoalkan kewibawaan anggota Rela yang ditugaskan membantu tugas pemantauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Klip video selama 21 saat itu telah tersebar di media sosial.

Ia mengundang kemarahan ramai terutama anggota Rela hingga menyebabkan mereka membuat laporan polis serta meminta supaya permohonan maaf dibuat secara terbuka kepada anggotanya disebabkan penghinaan terbabit.

Malah Jabatan Sukarelawan Negara dalam satu kenyataan media meluahkan rasa kesal dengan ucapan Shafie itu dan memberitahu bahawa pada 29 September tahun lepas, Mesyuarat Lembaga Penasihat Esszone telah meluluskan penglibatan anggota Rela Malaysia dalam membantu menjaga keselamatan di 10 daerah Esszone.

Melalui inisiatif ini, anggota Rela yang dipilih di kalangan penduduk tempatan ditugaskan membantu memastikan keselamatan setempat melalui rondaan komuniti dan penyaluran maklumat.

Mereka ini telah melalui kursus asas Rela yang dikendalikan oleh polis, ATM dan Esscom dengan modul yang digunakan termasuk pengendalian senjata api dan penyaluran maklumat. Jadi dengan menuduh Rela hanya menjaga trafik di majlis kenduri adalah satu penghinaan.

Sama seperti badan beruniform yang lain, kadang-kadang anggota Rela juga berdepan dengan bahaya. Peranan mereka bukan hanya berkawal di majlis tertentu sahaja malah mereka merupakan duta kecil kerajaan dalam penyebaran dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Kesimpulannya, tidak perlu menghina orang lain atau pekerjaan yang mereka lakukan. Jangan jadi seperti pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir Mohamad yang menghina penjual nasi lemak dan pemandu Uber.

Tindakannya memperlekehkan mereka ini telah mengundang kemarahan ramai. Menjual nasi lemak dan memandu Uber adalah pekerjaan halal, jadi kenapa perlu dihina orang yang mencari rezeki dengannya.

Jadilah pembangkang yang bijak ketika berucap di atas pentas. Jangan jadikan orang lain sebagai bahan modal untuk diperlekehkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.