Ezad Pilih ‘Bijak’

KUALA LUMPUR: Anak-anak yang semakin membesar memberi ilham kepada penyanyi, Ezad Lazim, untuk memulakan perniagaan menjual baju sekolah jenama sendiri.

Dilancarkan pada bulan lalu, Ezad memilih Bijak sebagai jenama untuk mempromosikan produk diusahakan beliau dan isteri.

“Keinginan untuk memperkenalkan produk jenama sendiri sudah lama bersarang dalam diri. Namun, pada peringkat awal dulu, saya dan isteri agak buntu memikirkan barangan bersesuaian untuk tujuan terbabit.

“Akhirnya, kami memutuskan untuk tampil bersama pakaian sekolah. Idea itu timbul apabila melihat anak-anak yang semakin membesar dan bakal melangkah ke alam persekolahan tidak lama lagi,” katanya kepada BH Online.

Kata penyanyi berusia 38 tahun ini, perniagaan terbabit pada hakikatnya bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

“Mudah sebenarnya menjual baju sekolah kerana ia sudah mempunyai garis panduan ditetapkan. Jadi, kami tidak perlu memerah otak untuk memikirkan bentuk dan corak berlainan dengan yang sedia ada kerana pakaian sekolah sama saja semuanya.

“Keluaran awal itu pula dianggap sebagai pengenalan kepada produk baju sekolah kami. Biarpun berdepan pelbagai masalah, namun lega rasanya apabila sambutan diberikan orang ramai amat menggalakkan,” katanya.

Ezad mendirikan rumah tangga bersama Nor Azeana Ramli pada Mac 2013. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Rania Keisha, 4, dan Putera Muhammad Darwish, 2.

Sementara itu, Ezad berkongsi, beliau kini mempergiatkan lagi promosi single terbarunya, Kuasa Cinta.

Selain itu, penyanyi ini turut merancang mengadakan konsert ‘reunion’ bersama kumpulan Exists dan Slam di bawah tajaan Kopi Badang.

“Hasil perbincangan bersama Along yang juga anggota Exists, ia memberi idea untuk kami mengadakan konsert di ibu kota. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kami teruja apabila ada pihak menyambut baik cadangan terbabit,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.