Drama Farid Kamil Pun Laku

KONTROVERSI membabitkan pelakon Datuk Farid Kamil turut membawa tuah kepada drama Lafazkan Kalimah Cintamu apabila trending di laman sosial Twitter sejak hari pertama bersiaran Isnin lalu.

Menerusi tanda pagar #lafazkankalimahcintamu, drama adaptasi novel itu berada di kedudukan pertama senarai trending di Malaysia pada malam Isnin lalu dengan 40,000 Tweet.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya tidak menjangka sambutan diberikan penonton terhadap drama terbabit yang trending di Twitter pada hari pertama disiarkan.

Katanya, apa yang berlaku hanyalah secara kebetulan dengan tarikh drama disiarkan.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan dan maklum balas positif terhadap drama ini.

“Biarpun pelakon utamanya berdepan ujian besar, peminat terus memberikan sokongan terhadapnya. Diharapkan sokongan peminat untuk terus memartabatkan drama Melayu khususnya naskhah yang ditayangkan di Astro,” katanya.

Selain Farid, drama arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi Nelydia Senrose, Azhar Sulaiman dan Adibah Noor.

Drama Lafazkan Kalimah Cintamu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Semalam, Farid yang juga suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle, dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM12,000 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas ditahan reman selama lima hari.

Pada Khamis minggu lalu, bintang Tombiruo: Penunggu Rimba dan J Revolusi itu ditahan apabila mencetuskan kekecohan kerana menampar anggota polis dan menendang orang awam dalam kejadian di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.