Bekas Imam Besar Masjid Al-Aqsa Hargai Sokongan Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Said Sabri menzahirkan penghargaan serta sokongan kepada Malaysia dalam isu Baitulmuqaddis dan Palestin.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi akaun Facebooknya memberitahu, Sheikh Ekrima mengikuti dengan dekat kenyataan Malaysia serta kepemimpinan negara berhubung isu tersebut.

“Beliau melahirkan rasa penghargaan yang amat tinggi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia dalam memberi sokongan padu kepada Palestin,” katanya.

Zulkifli ketika ini berada di Kaherah, Mesir bagi mewakili negara menghadiri Persidangan Al Azhar Sedunia yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Zulkifli diundang bagi memberi pandangan dalam persidangan yang dihadiri ulama dan pemikir Islam dari seluruh dunia.

Penganjur persidangan, Al-Azhar As-Syarif merupakan sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia dan berperanan memelihara warisan Islam di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.