Aubameyang Terdesak Mahu Ke Arsenal?

Oleh: Suzein-Yana

Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dilaporkan hampir menyarung jersi Arsenal dengan harapan Michy Batshuayi dari Chelsea sebagai pengantinya.

Akhbar Jerman, Bild berkata Dortmund meletakkan tanda harga sebanyak AS$85.6 juta (RM338.84 juta) ke atas Aubameyang yang juga penjaring gol terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 31 gol.

Bild berkata, ejen Pierre kini berada di London bagi membincangkan mengenai potensi perpindahan itu dengan Arsenal yang dilaporkan sedia menjual penyerangnya, Alexis Sanchez kepada Manchester United.

Bild turut mendakwa Dortmund ketika ini memerhati dengan minat penyerang Belgium, Batshuayi yang gagal menarik perhatian Antonio Conte di Chelsea selepas hanya membuat dua penampilan dalam 11 aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Aubameyang pula dikatakan terdesak untuk meninggalkan Dortmund.

Dia digugurkan daripada pasukannya, Ahad lalu pada aksi menentang Wolfsburg di laman sendiri yang berakhir tanpa jaringan selepas gagal untuk menghadiri mesyuarat pasukan lantas tindakan disiplin ketiga yang dikenakan oleh Dortmund sejak dua musim lalu.

Penyerang kelahiran Gabon itu begitupun sudah menjaringkan 21 gol dalam 23 perlawanan di semua kejohanan musim ini tetapi bos Dortmund, Peter Stoeger yang mengambil alih tugas selepas pemecatan Peter Bosz berkata Aubameyang adalah gangguan dalam pasukannya.

Malah, kekal misteri sama ada Stoeger akan menyenaraikan Aubameyang bagi aksi Bundesliga menentang Hertha Berlin di laman lawan, esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.