Tidak Calonkan Sesiapa Untuk Jawatan Presiden FAM

KUANTAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuat keputusan untuk sikap berkecuali dan tidak mencalonkan sesiapa untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Malaysia (FAM) yang akan dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

 

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, pendirian itu diambil bagi mengelakkan timbul sebarang isu memandangkan jawatan Presiden sekarang dipegang oleh kekandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Menurutnya, persatuan itu mengambil tindakan berkecuali dan tidak mencalonkan sesiapa namun untuk jawatan lain diserahkan kepada Exco PBNP untuk membuat keputusan.

 

“Kita tidak mahu timbul isu berbangkit apatah lagi kita tidak mahu ada calon tertentu dituduh menjadi proksi (PBNP) untuk jawatan itu andai PBNP mengemukakan nama (calon) untuk bertanding.

 

“Kita mengambil pendirian hasil (pemilihan) pada Kongres Ke-53 FAM yang dijadualkan Mac ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Pahang 2017 di Hotel Zenith di sini petang tadi yang turut dihadiri Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan pengendali pasukan, Dollah Salleh.

 

Dalam majlis tersebut, pasukan yang juga dikenali dengan gelaran Tok Gajah memperkenalkan jersi baharu tajaan Jako yang julung kalinya menaja pasukan itu untuk musim ini dan musim depan.

 

Sementara itu, mengulas mengenai harapan terhadap skuad Tok Gajah musim ini, Tengku Abdul Rahman berkata, semua persiapan sudah dilakukan termasuk membawa ramai pemain berpengalaman menyertai pasukan bagi memastikan Pahang dapat kembali menjadi pasukan disegani.

 

“Boleh dikatakan kita mengeluarkan belanja agak besar musim ini berbanding musim lalu…semua (perbelanjaan) ini adalah untuk memastikan Pahang kembali mempamerkan prestasi lebih cemerlang memandangkan musim lalu yang agak mengecewakan.

 

“Saya berterima kasih kepada penaja, terutamanya Jako yang sedia untuk bersama kami musim ini,” katanya lagi.

 

Selain itu, Tengku Abdul Rahman turut mengharapkan sentuhan magis daripada Dollah boleh membantu Pahang kembali menjadi pasukan yang bagus dan seterusnya kembali disegani dalam saingan Liga Malaysia musim ini.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!