Hanya 11 Peratus Akan Mengundi Kerana Azmin – Kaji selidik

PETALING JAYA – Satu kaji selidik mendapati hanya 11% pengundi di Selangor akan mengundi kerana faktor Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Kaji selidik itu didakwa dilakukan Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini, dengan mengambil 1,500 pengundi di Selangor sebagai sampel.

 

Rumusan atau keputusan kaji selidik itu bagaimanapun tidak diumumkan kepada media dan orang awam tetapi diketahui kepemimpinan utama PKR, dakwa Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

 

Menerusi blognya, chegubard.blogspot.my, dia yang digantung keahlian PKR berkata, undian yang diperoleh Azmin itu berbeza dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tahun pertama dan kedua sebagai Menteri Besar Selangor.

 

“Walaupun berjuta digunakan untuk menaikkan imej Menteri Besar malangnya imej populariti Menteri Besar termengah-mengah hanya bermain pada angka 11%.

 

“Ingat ketika tahun pertama dan kedua Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, popularitinya bermain pada angka 60% tahun pertama dan kedua dan berikutnya turun sedikit.

 

“Ini fenomena biasa mana -mana ahli politik tahun pertama pasti tinggi dan tahun berikutnya akan turun sedikit. Malangnya, Azmin memulakan tahun pertama pemerintahannya dengan hanya 11% popularitinya sahaja,” tulisnya.

 

Katanya, pola pengundian rakyat Selangor dipengaruhi oleh hampir 65 % akan mengundi kerana kelemahan dan kepincangan Barisan Nasional dan 45 % akan mengundi kerana faktor kezaliman terhadap Anwar Ibrahim dan ketokohannya.

 

“Kepada wakil rakyat khususnya PKR Selangor, walaupun pelbagai cara Azmin dan kuncunya lakukan untuk menutup populariti Anwar tetapi pengaruh Anwar tetap besar dalam kalangan pengundi Selangor,” kata Chegubard. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.