Kempen Makan Ikan : Penduduk Pengkalan Bun Enggan Makan Ikan Yang ‘Meratah’ Mangsa QZ8501

Pangkalan Bun – Bagi meraih kembali kepercayaan penduduk di Pangkalan Bun yang kebanyakannya tidak mahu menjamah dan membeli ikan sejak kejadian nahas pesawat AirAsia QZ8501, satu Kempen Makan Ikan Bersama Pemimpin Kotawaringin Barat diadakan pagi tadi(Sabtu) untuk membantu meningkatkan kembali pendapatan nelayan di kota itu.

 

Kemerosotan penjualan makanan laut itu berikutan tersebar khabar angin mengatakan ikan tangkapan nelayan ‘meratah’ mayat mangsa nahas pesawat berkenaan di perairan Selat Karimata.

 

Ketua Daerah Kotawaringin Barat (Kobar) Ujang Iskandar berkata, untuk membantu nelayan, dia menjemput 1,250 warga kota itu memakan ikan bersama-sama.

 

“Pelbagai ikan disajikan dalam kempen itu seperti ikan bawal, ikan siakap dan ikan kerapu . Ikan itu dimasak dan dibakar berserta makanan lain seperti bakso ikan, laksa ikan, nugget ikan, keropok ikan, dan abon ikan.

 

“Tujuan acara ini diadakan bagi memastikan ikan yang ditangkap nelayan kita di Kumai ini selamat dan tidak seperti digembar gemburkan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Pendaratan Ikan, Pelabuhan Kumai, di sini, pagi ini.

 

Katanya, dia berharap dengan kempen itu dapat mengembalikan keyakinan masyarakat setempat bahawa ikan di laut tidak makan mayat mangsa nahas pesawat berkenaan. – Detiknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.