Beberapa Kawasan Rendah Di Kuching Mulai Banjir

Kuching – Beberapa rumah di kawasan rendah di Kampung Rantau Panjang dan Kampung Tengah Sungai, di sini, mula banjir berikutan limpahan air Sungai Sarawak Kiri.

 

Tinjauan Bahagian Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuching sejak jam 11 pagi tadi di sungai berkenaan mendapati paras air sungai semakin meningkat sehingga jam 5 petang tadimenyebabkan lima rumah dan jalan di kawasan rendah di kedua-dua kampung itu mula banjir.

 

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuching Shaiful Azril Zainal berkata, setakat ini belum ada penduduk dipindahkan.

 

Bagaimanapun, katanya anggota JPAM bersama bot sudah diarahkan bersedia di kawasan berkenaan.

 

“Ketika ini tiga kumpulan sudah diarahkan bersedia iaitu sembilan anggota di Batu Kitang, empat di Kampung Rantau Panjang dan empat di Kampung Tengah Sungai.

 

“Seramai 20 anggota dan pegawai berada di Bilik Operasi Banjir selama 24 jam,” katanya.

 

Dalam pada itu, berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di Sarawak melebihi paras amaran berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa lalu selain fenomena air pasang.

 

Sungai Krusin di Serian merekodkan bacaan 15.41 meter (m) melebihi paras normal 14.5m.

 

Selain itu, Sungai Batu Kitang, di Kuching turut mencatat paras berjaga-jaga dengan bacaan 3.88m berbanding paras normal 1.85m, manakala Sungai Nanga Ngemalai B di Mukah, 3.52m melepasi paras normal 1.8m.

 

Di Mukah, 13 keluarga di Rumah Panjang Meling Sungai Setuan Kecil, Balingian, dipindahkan berikutan banjir mencecah paras pinggang, petang tadi.

 

Mereka dipindahkan menggunakan bot ke Sekolah Kebangsaan Kuala Balingian.

 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufiyan Borhan berkata, hujan lebat serta fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan rumah panjang itu dinaiki air.

 

“Anggota kami sudah bergegas ke lokasi bagi menghulurkan bantuan secepat mungkin. Namun, keadaan masih terkawal dengan paras air dilihat sudah mula surut.

 

“Bagaimanapun, kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana hujan masih belum reda ditambah pula dengan air pasang melanda beberapa kawasan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.