Solat Hajat & Bacaan Yasin Untuk Adib, Doakan Kesejahteraannya

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah hari ini, mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat serentak di 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri ini, bagi mendoakan kesejahteraan rakan mereka, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kini kritikal.

Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah, berkata pihaknya mengharapkan kesembuhan buat anggota kelahiran negeri ini yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan keadaan Muhammad Adib kini kritikal dan berharap berkat solat hajat, tahlil dan bacaan Yasin yang dilakukan akan memberi kesembuhan kepadanya.

“Majlis ini diadakan selepas waktu Zohor tadi dan kita berharap ada berita baik mengenai keadaan terkini Muhammad Adib,” katanya ketika ditemui selepas majlis di BBP Alor Setar hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 50 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah dan anggota BBP Alor Setar mengadakan bacaan Yassin dan solat hajat.

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Kota Setar, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya mengharapkan Muhammad Adib kembali pilih dan menjalankan tugas seperti biasa.

Akhbar semalam melaporkan keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, bulan lalu dilaporkan merosot.

IJN menerusi satu kenyataan hari ini berkata, fungsi paru-paru Adib di dalam tempoh 24 jam yang lalu mengalami kemerosotan dan penilaian yang teliti menunjukkan tanda yang menyebabkan proses pertukaran gas tidak efektif. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.