‘Kita Tak Boleh Tutup Mulut Orang’

KUALA LUMPUR: Lapan minggu beraksi di pentas musim keempat Gegar Vaganza (GV4), Liza Hanim yang disebut-sebut menjadi antara calon favourite meraih gelaran juara pada konsert penentuan, malam esok, tidak terlepas menjadi mangsa kecaman netizen.

Menyedari situasi yang bakal dihadapi isterinya, anggota kumpulan Indigo, Shah menasihatkan Liza supaya membuat persediaan mental dan fizikal sebelum menyertai program realiti itu.

“Liza perlu bersedia berdepan komen netizen apabila membuat keputusan menyertai GV4. Kita tahu program ini mempunyai kelompok peminat tersendiri dan sering menjadi bualan.

“Bagi saya mudah saja, kita tidak dapat menutup mulut orang. Jadi apa yang penting, kami tahu diri sendiri. Mana yang boleh dijadikan pengajaran, kita ambil,” katanya kepada BH Online.

Sejak mula bertanding, Liza tidak terlepas daripada dikritik netizen antaranya dikatakan terlalu mencuba dan sering mendapat lagu hit serta mantap, seolah-olah memudahkan laluannya dalam program realiti itu.

Malam esok, Liza akan bersaing dengan lima penyanyi lain iaitu Aishah, Hazami, Firman, Lan dan Tia Jinbara bagi merebut gelaran juara GV4 yang akan disiarkan secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor oleh saluran Astro Ria, mulai jam 9 malam.

Shah atau nama penuhnya, Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, memahami bebanan yang perlu digalas Liza sepanjang beraksi di pentas GV4.

“Saya faham situasi isteri yang bertanding sekarang. Saya juga tahu Liza sedia untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Namun, bagi diri ini, saya lebih selesa bergerak di belakang tabir dan menguruskan perniagaan milik kami berdua,” katanya yang berkahwin dengan Liza pada 2003.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.