Video: Selangor Bazir RM9.7 Juta Untuk Pintu Gerbang

Kuala Lumpur – Ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin mendakwa kerajaan Selangor memperuntukkan RM9.7 juta hanya untuk menaik taraf gerbang Kota Darul Ehsan di Lebuh Raya Persekutuan.

 

Beliau yang juga dikenali sebagai Chegubard menganggapnya satu pembaziran dan tidak masuk akal walaupun diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

 

 

Katanya, apabila beliau cuba membangkitkan perkara itu, beberapa pemimpin PKR Selangor cuba menjelaskan kononnya projek itu diluluskan sewaktu pentadbiran bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

“Bila ditanya pemberita, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan angkuh dan sombong menjawab, perkara itu tiada masalah kerana semuanya diluluskan melalui Dewan. Saya nak beritahu Azmin, jangan angkuh sebegitu.

 

“Kalau hanya kerana Dewan kamu halalkan semua benda, saya nak sebut soal cukai barang dan perkhidmatan dan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang juga diluluskan di Dewan (Rakyat).

 

“Adakah kamu hendak mengatakan kedua-dua perkara itu sesuatu yang wajar dan tidak boleh dipertikaikan hanya kerana diluluskan dalam Dewan?” soalnya.

 

Pada masa sama, Badrul juga menuntut penjelasan pejabat menteri besar itu dan Jabatan Perhutanan negeri mengenai projek pembalakan bernilai RM45 juta yang didakwa diserahkan kepada 2 syarikat tanpa melalui proses tender.

 

“Kita dah guna saluran dalam, tetapi tidak dilayan, daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) angkat isu ini dan dedahkan, lebih baik kami yang dedahkan dulu,” katanya sambil meminta kedua-dua pihak itu memberikan penjelasan dalam masa 14 hari.

 

Sekiranya gagal, katanya, SAMM tidak teragak-agak untuk mendedahkan dokumen berserta nama syarikat yang terlibat.

 

Beliau berkata, projek pembalakan tersebut ialah bagi membersihkan kawasan hutan untuk projek jajaran talian penghantaran elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sungai Terentang, Rawang dan Mahkota Cheras.

 

Ahli PKR yang digantung itu mendakwa, salah satu syarikat yang mendapat projek pembalakan itu didapati menjalankan perniagaan dalam bidang spa dan kecantikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.