Sokong Najib Selagi Tidak Didapati Bersalah

Kuala Lumpur – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau akan terus menyokong Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri lantaran beliau belum didapati bersalah atas sebarang salah laku berhubung kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Adenan yang menggulung perbahasan Bajet 2016 Sarawak berkata, beliau bersedia menarik balik sokongannya jika Najib disabitkan dengan apa-apa jenayah namun menegaskan bahawa buat masa ini, Perdana Menteri masih dilihat tidak bersalah.

 

“Jika beliau (Najib) didapati bersalah berkaitan dengan IMDB, saya akan mempertimbangkan menarik balik sokongan kami untuk beliau. Beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

 

“Pada masa ini, beliau tidak melakukan apa-apa yang salah.

 

“Saya berhutang kesetiaan saya kepada Najib. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Barisan Nasional (BN), jadi saya terus menyokong beliau,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menjawab kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Dudong, Yap Hoi Liong yang berkata bahawa menyokong Najib seolah menyokong syarikat bermasalah milik negara, 1MDB dan menggalakkan kemasukan UMNO ke Sarawak.

 

Menurut Adenan, beliau berjaya memujuk UMNO untuk tidak masuk ke Sarawak, sekurang-kurangnya tidak selagi beliau masih hidup.

 

“Kami berbeza dari Semenanjung Malaysia. Sarawak mempunyai banyak kumpulan etnik, seperti kaum Dayak, Melayu dan Cina. Oleh itu, kita tidak boleh mempunyai UMNO di Sarawak,” katanya menambah bahawa beliau bersedia membawa usul di Dewan untuk mengharamkan kemasukan UMNO tetapi larangan itu mesti juga membabitkan parti-parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung iaitu DAP, PKR dan PAS.

 

Mendengar itu, Speaker Datuk Amar Asfia Awang Nasar bertanya ADUN pembangkang samada mereka akan bersetuju dengan usul sedemikian.

 

Yap tidak memberikan tindakbalas terhadap soalan itu sebaliknya bertanyakan samada Adenan meyokong 1MDB.

 

Adenan dalam jawapannya bagaimanapun bertanya samada soalan itu berbentuk perangkap yang disediakan pembangkang untuk pihak kerajaan negeri sebaliknya menambah bahawa Sarawak mempunyai hak mutlak untuk melarang kemasukan mana-mana individu ke negeri itu dan ianya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

 

“Oleh itu, adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa Sarawak hanya mengharamkan kemasukan ahli-ahli politik pembangkang dari Semenanjung, tetapi pada semua termasuk dari BN.

 

“Sebagai contoh, kita telah mengharamkan kemasukan orang-orang seperti Ridhuan Tee Abdullah (Penceramah bebas) dan Ibrahim Ali (Presiden PERKASA),” katanya.

 

ADUN DAP Piasau, Alan Ling yang tidak berpuas hati dengan jawapan Adenan, bertanya mengapa ahli parlimen pembangkang peringkat persekutuan seperti Tony Pua dan Nurul Izzah Anwar dilarang memasuki Sarawak.

 

“Mereka bukan pengganas dan tidak boleh dibandingkan dengan Ridhuan Tee dan Ibrahim. Anda perlu memberikan sebab-sebab larangan itu.

 

“Adakah pengharaman Tony Pua mempunyai apa-apa kaitan dengan IMDB? Anda tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya,” soal Ling kepada Adenan.

 

Adenan bagaimanapun menjawab dengan bertanya “mengapa DAP mengheret IMDB ke dalam perbahasan itu? Ianya tidak relevan kepada isu yang sedang dibahaskan”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.