Ribut Kuat Landa Sydney

Canberra (Australia) – Fenomena puting beliung yang jarang berlaku dilaporkan melanda Sydney, semalam dan turut membawa angin kencang lebih 200 kilometer sejam dan hujan batu berukuran sebesar bola kriket yang menyebabkan banjir kilat di bandar terbesar di Australia itu.

 

Biro Meteorologi (BOM) turut mengeluarkan amaran selepas ribut berbahaya itu melanda pantai dari selatan Sydney hingga memaksa beberapa penerbangan dilencongkan ke bandar lain.

 

Seorang penduduk di Kurnell, Meredith Sullivan memberitahu kejadian puting beliung itu berlaku tanpa sebarang amaran selepas langit bertukar gelap dan disusuli dentuman guruh.

 

“Angin bertiup kencang secara tiba-tiba dan turut menerbangkan pelbagai objek dan memusnahkan banyak kenderaan,” katanya kepada Reuters.

 

Sementara itu, media tempatan melaporkan kira-kira 6,000 rumah di selatan bandar itu terputus bekalan elektrik.

 

“Sebuah pusat beli belah di pinggir timur Sydney juga mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian bumbungnya runtuh dalam ribut tersebut,” jelas laporan itu lagi.

 

Awal tahun lalu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran Australia dijangka menerima kesan daripada fenomena el-Nino.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.