Peniaga Vape Di Kelantan Jangka Kerugian RM50 Juta

KOTA BHARU – Lebih 350 peniaga rokok elektronik atau vape dijangka mengalami kerugian kira-kira RM50 juta ekoran keputusan kerajaan Pas Kelantan mengharamkan penjualan barangan tersebut di negeri ini berkuat kuasa awal tahun depan.

 

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVMM) Kelantan, Mohd. Azlee Che Mohd Zaid berkata, ini kerana pihaknya mengeluarkan modal yang tinggi mencecah ratusan ribu ringgit untuk memulakan perniagaan tersebut.

 

Justeru, beliau yang mewakili ahli pertubuhan itu merayu kepada kerajaan Pas Kelantan supaya mengkaji semula keputusan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini demi kelangsungan hidup mereka.

 

“Kita juga harap kerajaan negeri dapat memberi lebih masa kepada peniaga untuk menghabiskan stok peranti dan cecair vape terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan tersebut dilakukan.

 

“Masa yang kerajaan negeri beri kepada peniaga untuk mengosongkan premis masing-masing dalam tempoh 14 hari cukup singkat dan tidak mencukupi.

 

“Modal yang digunakan untuk membuka sebuah kedai mencecah sehingga RM200,000. Peniaga juga perlu diberi masa untuk ambil kembali modal yang mereka telah laburkan sementara mencari peluang perniagaan lain,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berhubung isu penjualan vape kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

 

Kerajaan Pas Kelantan semalam memutuskan untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

 

Abdul Fattah ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, serentak dengan itu, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan notis selama 14 hari kepada peniaga vape supaya mengosongkan premis masing-masing bermula semalam.

 

Malah tindakan tegas termasuk menyita premis perniagaan itu akan diambil sekiranya para peniaga masih berdegil. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.