Parti Amanah Tubuh Pasukan Peguam Pertahan Mat Sabu

SHAH ALAM – Ketua biro undang-undang Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin berkata beliau sudah membentuk pasukan peguam untuk mempertahankan Presiden parti itu, Mohamad Sabu jika PAS tetap bertegas mahu mengheretnya ke mahkamah.

 

Ujar Ahli Parlimen Sepang itu, Amanah hormat pada hak semua pihak, termasuk PAS, untuk menyaman mana-mana pemimpin mereka.

 

“Tetapi kami hendak ingatkan PAS bahawa Amanah tidak pernah menganggap PAS sebagai musuh politiknya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Hanipa berkata, Amanah juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap PAS dan pemimpinnya yang didakwanya mengeluarkan kenyataan liar tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap parti baharu itu.

 

“Amanah berhak memfailkan saman balas sekiranya PAS masih mahu bertarung di mahkamah,” katanya lagi.

 

Kelmarin Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Sabu susulan keengganan bekas Timbalan PAS itu menarik balik dakwaan kononnya parti Islam itu diresapi fahaman militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

 

Katanya, tindakan terhadap Mat Sabu akan dilakukan sejurus perbincangan mengenainya dimuktamadkan di peringkat pusat.

 

Menurut Iszuree, perbincangan mengenainya membabitkan beberapa pihak dalam parti, termasuk Jawatankuasa Undang-undang PAS dan peguam yang dilantik parti. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.