Najib Hulur Salam Perpaduan Kepada PAS

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi kesediaan untuk menjalankan kerjasama bersama Pas hari ini.

 

Malah, beliau menjelaskan bahawa langkah itu diambil seiring dengan saranan Al Quran di dalam surah Ali Imran yang menekankan mengenai pentingnya perpaduan di kalangan ummah.

 

“Islam menganjurkan betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan ummah dan sebaliknya betapa bahayanya apabila kita umat Islam terjebak dalam kancah perpecahan dan perbalahan. Petunjuk Quran dengan begitu jelas menggariskan prinsip perpaduan ini.

 

“Seperti mana ayat 103 surah Ali Imran yang disebutkan Datuk Seri Abdul Hadi, berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah. Pertamanya, apakah pengertian ayat ni, bermula dengan perintah, maknanya ini bukan pilihan, ini bukan option, ini wajib, bila Allah perintah, maka hukumnya wajib untuk kita berpegang kepada Allah, bukan berpegang kepada tali lain,” katanya di dalam ucapan perasmian di majlis Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia hari ini.

 

Pentas hari ini merupakan pentas pertama yang dikongsi bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Umno menghulurkan tali silaturrahim kepada Pas beberapa hari yang lalu.

 

Jelas Najib, Islam telah melarang umatnya dari berpecah belah dan itu diterapkan di dalam konsep perbezaan ideologi merentasi perpaduan yang cuba dibawa di dalam gelanggang politik Malaysia.

 

“Maka saya, yang mewakili kabilah saya dan Hadi yang mewakili kabilahnya, marilah kita berpegang kepada pengertian ayat ini (Ali Imran, ayat 103), seperti disebut tadi jangan kita pula jadi seperti negara-negara Islam yang lain (yang berpecah-belah).

 

“Masih begitu banyak perkara yang boleh diutamakan berlandaskan agenda perpaduan ummah dan itulah yang saya maksudkan semasa ucapan saya di PWTC tempoh hari, berkenaan menghulurkan silaturrahim dan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syiar dan syariatnya,” tambah Perdana Menteri itu lagi.

 

Sementara itu, Hadi ketika ditemui wartawan selepas selesai majlis berkenaan enggan memberikan sebarang komen berhubung pertemuan sulung dua pimpinan negara ini.

 

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucaptamanya berkata semua pihak harus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan pertembungan perbezaan ideologi.

 

Katanya, apa yang berlaku di sesetengah negara diharapkan tidak akan berlaku di rantau Asia. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.