Multaqa Alumni Al-Azhar Mahu Rintis Perpaduan PAS, UMNO

KUALA LUMPUR – Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, yang julung kali diadakan di sini diharap dapat merintis jalan ke arah penyatuan dua parti Islam terbesar, iaitu Pas dan UMNO.

 

Harapan ini dinyatakan Pengerusi Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti, sesuai dengan seminar berkenan yang akan membincangkan perbezaan pendapat dan ideologi politik yang sedang melingkari masyarakat Islam di negara ini.

 

Kesempatan itu, katanya boleh membuka jalan kepada perpaduan antara kedua-dua parti berkenaan.

 

“Dalam konteks (tema:Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi) ini, sebenarnya kita fokuskan kepada fahaman politik, kerana kita ambil kira, sebahagian besar umat Islam di negara ini cenderung kepada dua parti politik Islam terbesar (Pas dan UMNO).

 

“Salah satu tujuan pertemuan ini adalah untuk mendekatkan, nak menanamkan semangat perbincangan dialog…dan mungkin apa yang berlaku ini dapat mempengaruhi masyarakat Islam di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 

Forum tiga hari bermula Rabu anjuran Rabitah (Liga) Al-Azhar Malaysia dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak petang ini dan dijangka dihadiri 900 peserta dari dalam dan luar negara.

 

Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijadualkan menyampaikan ucap tama beliau selepas Najib merasmikan seminar berkenaan.

 

Najib, sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya sebagai Presiden UMNO di Perhimpunan Agung parti itu 10 Dis lepas, telah menghulurkan “tali silaturahim” kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

 

“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” kata Najib. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.