Melayu Jangan Jadi Macam Arab, Kata Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Semua pihak harus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan pertembungan perbezaan ideologi.

 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata apa yang berlaku di sesetengah negara diharapkan tidak akan berlaku di rantau Asia.

 

“Sunni dengan sunni berperang, syiah dengan syiah berperang kerana perbezaan ideologi. Berperang dengan senjata yang diberi oleh Barat atau Timur, sama ada dari Amerika, Russia atau China.

 

“Kita berperang dengan senjata mereka, bunuh sesama kita, bayar dengan duit kita. InsyaAllah Melayu tidak akan jadi macam Arab,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di Hotel Grand Seasons hari ini.

 

Beliau berkata demikian dipercayai seakan memberi gambaran awal mengenai usaha untuk mengelakkan pertembungan ideologi yang akhirnya akan mengakibatkan kerugian.

 

Sebelum ini, Umno melalui Perhimpunan Agung Umno 2015, parti itu menghulurkan salam silaturrahim kepada Pas.

 

Meskipun kedua-dua parti berkenaan mempunyai ideologi berbeza, namun ianya seakan tidak menjadi penghalang untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat dan umat Islam di Malaysia.

 

“Kita berbeza pendapat, kita berbalah, berkelahi tapi tak jadi peperangan proksi. Jangan kita ini jadi macam rantau Asia Barat.

 

“Hindarkan pertembungan kerana perbezaan ideologi. Zaman penjajahan sudah tiada lagi, mari kita merdekakan diri dengan benda-benda merdeka,” katanya yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

 

Malah beliau juga mengingatkan agar tidak terikut dengan agenda Barat dan Timur termasuk kebergantungan terhadap nasihat-nasihat mereka.

 

Menurut Hadi, ilmuwan negara yang ramai di Malaysia ini mampu menjadi penasihat dan juga boleh memberi pandangan kepada mereka yang memerlukan.

 

“Tafsirkan Islam di dalam perlembagaan mengikut Ad-Deeb bukan mengikut religion.

 

“Kita sendiri termasuk ustaz-ustaz kita, ulama dari Al Azhar, ilmuwan yang belajar dari Timur dan Barat, yang banyak belajar agama.

 

“Kita tidak perlu penasihat-penasihat Timur dan Barat, kita boleh ambil ilmu mereka, tetapi nasihat mereka tidak boleh ambil. Yang ada dalam ini bercambah, boleh bagi nasihat dan juga boleh bagi pandangan,” kata Hadi lagi.

 

Forum tiga hari bermula Rabu anjuran Rabitah Alumni Al-Azhar Malaysia dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dijangka dihadiri 900 peserta dari dalam dan luar negara. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.