Mara Digital Mall Terima Tawaran Niaga Syarikat Digital Dunia

Kuala Lumpur – Beberapa syarikat digital terkemuka dunia juga telah memutuskan untuk membuka rangkaian perniagaan mereka di Mara Digital Mall.

 

Justeru, kerajaan meminta supaya pihak tertentu berhenti memperlekeh usaha kerajaan membantu meningkatkan ekonomi golongan Bumiputera menerusi pengoperasian Mara Digital Mall itu.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyifatkan pusat yang baru seminggu beroperasi, tidak sepatutnya dijadikan ukuran bahawa pusat pengedaran barangan digital itu tidak berjaya.

 

“Syarikat-syarikat besar seperti Apple, Samsung, Oppo dan HP (Hewlett-Packard) dijangka membuka outlet mereka penghujung bulan ini.

 

“Mana mungkin syarikat seperti ini mahu beroperasi tanpa menilai dahulu potensi Mara Digital Mall…pastinya mereka tahu tempat ini berpotensi besar untuk berkembang,” katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak tertentu mendakwa Mara Digital Mall yang mula beroperasi awal bulan ini, sebagai gagal.

 

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai agar tidak mudah melabelkan pusat digital itu sebagai gedung perkauman kerana setiap lapisan masyarakat bebas memilih untuk membeli walaupun ia dipelopori golongan Bumiputera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.