Makan Guna Lampin Bayi Macam Makan Dalam Jamban – Pendakwah Bebas

KUALA LUMPUR — Seorang pendakwah bebas menyifatkan perbuatan menggunakan lampin pakai buang bayi sebagai alas makanan yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini, sama seperti makan dalam mangkuk tandas.

 

“Perbuatan makan menggunakan lampin pakai buang bayi sama juga makan dalam mangkuk tandas.

 

“Walaupun bersih, tapi (dilihat) kurang ajar, tidak beradab dan tidak berakhlak,” kata Ahmad Dusuki Abdul Rani dipetik laporan Harian Metro, hari ini.

 

Beliau mendakwa majlis “baby shower” untuk menyambut kelahiran bayi sama seperti perayaan April Fools dan Halloween yang bermula daripada kejahilan masyarakat luar, dan kesal budaya itu menjadi ikutan masyarakat Islam negara ini.

 

“Ada kemungkinan mereka ingin menarik perhatian masyarakat. Bagaimanapun mereka tidak sedar pada masa sama sudah menambah koleksi lawak bodoh antarabangsa dari Malaysia dengan sikap itu,” katanya.

 

Gambar wanita menggunakan lampin bayi sebagai pinggan dalam satu majlis “baby shower” yang dimuat naik di laman Instagram tersebar sejak minggu lalu.

 

Disebabkan itu, pengusaha fesyen Vivy Yusof yang di dalam gambar itu sedang meraikan rakannya yang sarat mengandung dikecam dan dikritik hebat pengguna laman sosial.

 

Pemilik syarikat FashionValet dan hijab dUCk itu menjelaskan lampin bayi itu hanya satu permainan, namun telah sengaja diperbesarkan.

 

“Dia tidak perlu minta maaf, tetapi anda tidak akan jumpa dia di akhirat ketika anda sedar anda perlukan kemaafannya walaupun hanya berkongsi artikel dan mendedahkan aibnya,” katanya yang mempertahankan rakannya di laman Instagram @vivyyusof. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.