KPDNKK Rampas Aksesori, Telefon Tiruan Bernilai RM2.3 Juta

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas barang tiruan telefon bimbit bernilai RM2.3 juta melibatkan 462 tindakan kes sejak 2011.

 

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata pada tahun ini sehingga November (Jan-Nov) pula kementerian telah mengambil 92 tindakan berkaitan barangan tiruan telefon bimbit, melibatkan nilai rampasan hampir RM600,000.

 

“KPDNKK sentiasa dan terus mengambil tindakan proaktif membuat pemeriksaan barang tiruan, termasuk telefon bimbit dan aksesori yang melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, serta menasihatkan pengguna agar tidak terpengaruh dengan iklan tawaran telefon bimbit yang dijual begitu murah.

 

Mengenai isu lelaki dikurung empat jam gara-gara telefon bimbit yang viral di media sosial, Alias berkata Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kuala Lumpur pada 15 Dis telah mengeluarkan penghakiman ekoran aduan yang difailkan Dipres Nasution Mohd. Arifin.

 

Mengikut penghakiman itu, syarikat penjual telefon bimbit hendaklah membayar balik RM5,000 kepada Dipres dalam tempoh 14 hari manakala Dipres hendak memulangkan semula keempat-empat telefon bimbit syarikat tersebut.

 

Setelah menerima ‘award’ tersebut, Dipres bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke kedai telefon bimbit memulangkan semula keempat-empat telefon bimbit dan mendapatkan RM5,000 dari syarikat telefon bimbit tersebut, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.