Khairy Tercalon Dalam Anugerah Meletop ERA

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tersenarai sebagai calon awal kategori Bintang Online Meletop pada Anugerah Meletop ERA (AME) 2016.

 

Khairy akan bersaing dengan nama besar dunia seni seperti Datuk Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Nora Danish, Rozita Che Wan, Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Nur Fazura, Erra Fazira dan Neelofa.

 

Turut tersenarai sebagai calon awal kategori itu adalah Nelydia Senrose, Yana Samsudin, Emma Maembong, Hafiz Hamidun, Tomok, Nabila Huda, Aaron Aziz, Awal Ashaari dan Fara Fauzana.

 

Ahli Parlimen Rembau itu mempunyai lebih sejuta pengikut di laman Twitter manakala 317,000 pengikutnya di laman Instagram.

 

Ketua Format Dan Progran Realiti Astro, Namanzee Harris, berkata biarpun bukan dalam kalangan selebriti, Khairy mempunyai pengaruh besar di laman sosial.

 

“Kita harus mengakui pengaruh Khairy di laman sosial cukup hebat. Beliau mempunyai ramai pengikut. Jadi itu antara alasan kukuh kenapa pihak kami mencalonkannya dalam kategori itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

 

AME 2016 akan diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari depan dan ia kali ketiga Astro menganjurkan acara itu.

 

Khairy pernah menunjukkan bakat dalam bidang lakonan apabila menghidupkan watak penjual ayam percik menerusi filem pendek berjudul Inspektor Mastura arahan Elaine Daly.

 

Filem pendek itu menjadi salah satu produk di bawah projek Ikal Mayang : Telling Women Stories cetusan idea daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), Women : Girls.

 

Sementara itu, pada sidang media sama, pelawak, Nabil Ahmad diumumkan sebagai pengacara AME 2016 untuk tahun ketiga berturut-turut.

 

Nabil bagaimanapun akan digandingkan dengan seorang lagi hos yang masih dirahsiakan.

 

Ketika dihubungi BH Online, Nabil menganggap peluang mengemudi AME 2016 sebagai ruang memantapkan diri dalam bidang pengacaraan.

 

“Ini suatu kebanggaan saya untuk sekali lagi mengacarakan AME 2016. Tak sabar menunggu hos lain yang bakal diumumkan kelak.

 

“Sesiapapun orangnya, pasti kami akan cuba mempersembahkan acara ini dengan jayanya,” katanya.

 

Undian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal dibuka kepada peminat mulai jam 8 malam ini hingga 12 tengah hari, 15 Januari depan.

 

Undian boleh dibuat di www.meletop.com.my dan www.era.fm atau melalui aplikasi terbaharu Astro Radio iaitu Raku yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.