ADUN PKR Gesa PAS Berhati-Hati Kerjasama Dengan UMNO

KUALA LUMPUR – Keputusan harus dibuat berhati-hati mengenai kerjasama politik melibatkan dua parti Melayu besar, Pas dan juga Umno.

 

ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata salam yang dihulurkan oleh Umno melalui presidennya, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini di Perhimpunan Agung Umno 2015 dikatakan diiringi pisau yang dipercayai merujuk kepada niat yang tidak baik.

 

“Kena hati-hati, salam dia hulur atas meja, bawah meja ada pisau.

 

“Dia berbohong (untuk menjalankan kerjasama tersebut),” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas atas kapasiti sebagai ADUN PKR Selangor mengenai kerjasama politik yang kerap disebut akhir-akhir ini.

 

Bagaimanapun jelas Yaakob, beliau bersetuju dengan konsep yang pernah dijelaskan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengenai hubungan Pas dan Umno.

 

“Kalau macam arwah Nik Aziz itu saya setuju. Jika benar Umno nak berlandaskan Islam, sama juga dengan Pas…dua-dua parti bubar, tubuh parti baru.

 

“Buat parti baru yang berteraskan Islam,” katanya lagi.

 

Sementara itu, menurut ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha, pendirian Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad sebelum ini sudah cukup jelas.

 

“Saya rasa itu sudah cukup jelas. Sebelum ini, Pas selalu kena buli dan kena tekan dengan Umno, tapi bila mereka dah nyawa-nyawa ikan, mereka nak hulur silaturrahim.

 

“Macam ada muslihat,” katanya.

 

Menurut Haniza, dalam apa perkara sekalipun, pimpinan atasan tidak boleh membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan akar umbi.

 

“Kena ambil kira akar umbi, sebab mereka yang duduk di atas adalah disebabkan akar umbi.

 

“Sekiranya keputusan dibuat tanpa ambil kira akar umbi, itu tidak patut,” tambah beliau lagi.

 

Sebelum ini, di dalam ucapan dasar Najib semasa PAU 2015, beliau menyarankan ahli Umno untuk menghulurkan silaturahim kepada Pas.

 

Malah katanya, beliau merasa lega apabila Pas kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas ditolak keluar oleh DAP dari Pakatan Rakyat (PR).

 

Malah dalam penubuhan Pakatan Harapan yang menggantikan PR baru-baru ini, Pas tidak disertakan sekali tetapi diganti oleh parti serpihan Pas, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

 

Kedudukan negeri Selangor khususnya bagi parti PKR akan terjejas sekiranya Pas memutuskan untuk bersetuju menjalin kerjasama politik bersama Umno. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.