Untukmu Ibu Nyanyian Mamat Buat Ifa Menangis

Kuala Lumpur – Penyanyi Ifa Raziah menitiskan air mata ketika mendengar bekas vokalis kumpulan Exists Mamat mendendangkan lagu Untukmu Ibu pada pertandingan Gegar Verganza pada 7 Disember lalu.

Memetik kenyataan di mstar online, Ifa menitiskan air mata kerana terkenangkan saat indah bersama arwah ibunya, Maimunah Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2010 akibat komplikasi penyakit buah pinggang.

“Saya sudah tiada ibu atau pun bapa, jadi apabila Mamat mendendangkan lagu tersebut saya jadi emosi sedikit kerana terkenangkan saat-saat indah bersama ibu ketika hayatnya.

“Sedar tidak sedar sudah empat tahun dia meninggalkan saya dan lagu Untukmu Ibu mengingatkan betapa saya merindui ibu saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa berkata, jika ibunya masih ada hari ini, wanita itu akan menjadi penyokong kuatnya untuk berjaya dalam pertandingan tersebut.

Kata Ifa, sebelum ini sekiranya dia ada memasuki apa-apa pertandingan arwah akan mendoakan untuknya dan membuatkan dia bersemangat untuk melakukan terbaik.

“Itu lagi salah satu sebab saya begitu emosi kerana saya sudah tiada ibu yang akan mendoakan kejayaan saya namun saya bersyukur kerana ada suami, anak-anak dan keluarga mertua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya yang juga turut bertanding dalam pertandingan tersebut.

Gegar Veganza 2014 disiarkan pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria dan Maya HD.

Selain Ifa dan Mamat, artis lain yang turut bertanding termasuklah Shima, Adilla, Haleeda, Ayai (Ilusi), Fazli Zainal, Sharifah Zarina dan Rahmat (Mega).

Bagaimanapun pada Ahad lalu, Adilla diumumkan tersingkir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.