Sam Tiada Masa Tukar Nombor Plat Audi 5 Yang Disaman JPJ

Kuala Lumpur – Pelakon popular, Shaheizy Sam masih belum menukar nombor pendaftaran salah sebuah kereta mewah Audi 5 miliknya yang dihadiahkan kepada ibunya, Katy Fauziah.

Kereta bernombor pendaftaran MCM1774 itu baru-baru ini disaman kerana nombor pendaftarannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya belum lagi sempat menukar nombor pendaftaran kereta yang dipakai ibu saya sebab sekarang ni saya sibuk tetapi saya sudah bayar saman itu. Ada masa nanti saya akan tukar.

“Kalau sanggup nak bayar saman setiap kali kena saman, saya mungkin tidak akan tukar tetapi saya akan tukar juga nanti,” katanya kepada Malaysian Digest ketika di temui pada majlis pratonton filem terbarunya Kasut Ku Kusut di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Mengulas lanjut mengenai hal kereta berkenaan yang di saman ketika dipandu ibunya di Lebuhraya Duke, Sam mengakui selebriti juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti disaman.

“Kita buat salah tetap salah. Mungkin ada orang ingat kalau selebriti macam kami jika ditahan, kami akan gunakan nama kami supaya boleh terlepas daripada di saman tetapi tidak.

“Sebenarnya ibu saya pun dah bising suruh saya segera tukar no plat kereta itu sebab dia cakap, mummy dah takut hendak bawa kereta ini ke mana-mana,” katanya.

Mengenai filem Kasutku Kusut arahan Pierre Andre, Sam menyatakan dia berdepan cabaran bertutur dalam loghat Perak.

“Saya sebagai Manap, seorang pemuda miskin tetapi sanggup buat apa saja demi mahu membeli kasut idamannya.

“Satu cabaran juga apabila perlu bercakap dalam loghat Perak dalam filem ini dan lama juga masa untuk saya biasakan sebab kadang-kadang bunyi percakapan saya macam loghat Kelantan pula,” katanya

Dalam pada itu, Sam memberitahu yang akan memperlahankan aktiviti lakonannya sekitar Januari ini dan merancang mahu bercuti.

“Sambil berehat nanti, saya menantikan skrip yang bagus,” katanya.

Selain muncul menerusi filem Kasut Ku Kusut yang akan ditayangkan mulai 18 Disember ini, Sam juga menantikan dua lagi filemnya, Polis Evo dan Gol yang dijangka tayangan pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.