Lelaki Ditahan, Disyaki Dalam Perjalanan Sertai Kumpulan Militan IS

Kuala Lumpur – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalam perjalanan untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria ditahan pada Rabu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.30 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki terbabit dipercayai menggunakan penerbangan transit ke Brunei sebelum ke Turki dan seterusnya ke Syria.

Suspek sedang bersendirian sebelum ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, katanya.

Beliau berkata dengan penangkapan terbaharu itu, pihaknya telah menahan 46 individu rakyat tempatan yang cuba menyertai atau membantu kumpulan militan IS.

Khalid berkata pihak polis sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan militan di luar negara.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menggunakan Malaysia sebagai transit seperti untuk menyertai kumpulan militan IS di Syria, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan apa-apa yang mengancam ketenteraman negara, mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-59 penubuhan Pasukan Simpanan Persekutuan di Kompleks PSP, Cheras pada Rabu.

Katanya polis percaya pihak yang ingin menyertai IS mempunyai jaringan tertentu di selatan Filipina seperti merekrut anggota baharu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihak polis bersama jabatan imigresen, pejabat daerah dan beberapa agensi penguat kuasa menahan 350 pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar Cameron Highlands baru-baru ini.

“Selain itu, polis juga telah menempatkan satu kompeni Polis Gerakan Am di kawasan tertentu bagi memantau Pati dan penerokaan tanah secara haram,” katanya. –BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.