Berat Kepala Jihan Dibebani Rambut Palsu

Kuala Lumpur – Meskipun kepalanya berat akibat dibebani rambut palsu sebanyak tiga lapisan tetapi pelakon dan pelawak Jihan Muse, 31, menyatakan dia lebih yakin ketika berjalan.

Menurutnya, dia terpaksa memakai rambut palsu berkenaan demi menjiwai wataknya sebagai Bik Susanti dalam filem sulung lakonannya, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (RPDSJ) arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid. Dalam filem komedi seram itu, Jihan tampil dengan karakter seorang wanita Indonesia berimej rambut kembang yang dilitupi selendang.

“Berat rambut itu tetapi saya begitu yakin berjalan ke sana dan ke sini. Selepas menonton filem ini, saya berpuas hati walaupun terpaksa pakai rambut berat itu.

“Saya juga tiada masalah apabila pengarah mengatakan yang watak saya perlu bertutur dalam bahasa Indonesia kerana selama ni memang saya seorang penggemar sinetron. Jadi, saya sudah biasa dengar gaya bahasa Indonesia dalam drama-drama yang saya tonton.

“Apabila mendapat tahu watak saya sebagai wanita Indonesia, saya seronok sebab mulanya saya bayangkan yang diri seperti Suzzana (pelakon filem popular Indonesia, Sundal Bolong),” kata Pelakon Wanita Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013) ini ketika ditemui pada sesi pratonton filem tersebut di KLCC, Kuala Lumpur, kelmarin.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Mamat, Jihan menyatakan memang menjadi impiannya mahu bekerja dibawah arahan sutradara yang pernah meraih anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) itu. Lantas apabila ditawarkan berlakon dalam RPDSJ, dia tidak berfikir lama untuk memberi kata setuju.

“Saya pernah terfikir tidak mungkin dia mahu ambil saya berlakon dalam filemnya tetapi tidak sangka apabila ditawarkan berlakon filem ini, saya terus setuju.

“Memang seronok bekerja dengan abang Mamat. Dia senang dan pelakon perlu ikut dan buat apa yang dia mahu sebab dia tahu apa yang dikehendaki untuk visualkan filemnya.

“Saya sebagai pelakon hanya melaksanakan tugas sebaik mungkin. Saya juga tidak perlu buat lawak keterlaluan sebab elemen lawak itu akan hadir dengan sendirinya mengikut situasi. Tambahan saya juga dikelilingi pelakon lain yang bagus dalam filem ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.