VIDEO: Ucapan Terakhir Sebagai Presiden PKR, Wan Azizah Sebak

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebak dan hampir mengalirkan air matanya kerana terkenangkan perjuangan parti, semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Kongres Nasional PKR Ke-13 di sini sebentar tadi.

Suasana emosional dirasai di dalam dewan ketika beliau menyeru anggota parti untuk berpegang kepada semangat ‘reformasi’.

Wan Azizah turut meminta ahli parti tidak menjadikan pangkat, kuasa dan harta mengaburi asas perjuangan dan dasar PKR selama ini.

Jelasnya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah.

“Saya benar-benar merasai kesunyian yang amat sangat. Barisan Alternatif musnah, kita kalah teruk dalam pilihanraya dengan hanya Parlimen Permatang Pauh menjadi penyelamat maruah parti.

“Hampir semua hilang membawa diri masing-masing yang tinggal hanyalah beberapa orang penyokong setia. Sebahagian pimpinan isytihar keluar parti dan menyerang PKR.

“Kita harus iktiraf dan hargai para reformis yang berjuang sejak 1998, mereka yang hilang kerja akibat dibuang dan dipecat, mereka yang jatuh bankrap akibat gagal membayar hutang membiayai perjuangan, mereka yang cedera dipukul, dihina, dicaci, dilokap, dipenjara dan pelbagai penderitaan yang dilalui namun mereka tegar berdiri menyatakan hak kepada pemimpin yanag rakus dan zalim.

Ramai juga yang telah meninggalkan kita,” kata dengan nada sebak.

Beliau agak beremosi kerana ucapan itu merupakan ucapan terakhirnya sebagai Presiden PKR sejak 20 tahun parti itu ditubuhkan.

Wan Azizah akan menyerahkan kedudukannya kepada suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung minggu ini yang menang tanpa bertanding dalam Pemilihan PKR untuk penggal 2018-2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.