Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Susut Kepada 4.6 Peratus – RAM Rating

KUALA LUMPUR – RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2019 akan susut kepada 4.6% berbanding 4.7% yang dijangkakan bagi 2018, berikutan ketidakstabilan dalam permintaan luar dan kadar pelaburan yang agak lembap.

Agensi penarafan itu berkata, sub indeks dalam indeks keyakinan perniagaan (BCI) ke atas sentimen pelaburan mencerminkan trend yang lemah bagi firma berorientasikan eksport dan domestik mulai suku ke-4 tahun ini sehingga suku pertama 2019.

“Tambahan pelepasan tunai daripada pembayaran balik cukai kepada firma termasuk dasar-dasar lain yang diperkenalkan bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan pada tahun depan dijangka akan membantu merangsang aktiviti perniagaan tetapi tidak akan memberikan tambahan pelaburan yang ketara,” katanya lagi.

Pertumbuhan pelaburan swasta diramalkan menjadi lebih rendah sebanyak 4.1%, berbanding 4.6% yang dijangkakan pada 2018.

Perang perdagangan AS-China jika berterusan berpotensi untuk menyalurkan potensi lencongan perdagangan dan faedah pemindahan pelaburan langsung asing ke Malaysia, terutama dalam sektor kecil elektrik dan elektronik.

“Bagaimanapun, RAM Ratings berpendapat berdasarkan kepada aktiviti penstokan semula dalam 2018 di hadapan pengenaan pusingan tarif yang utama, faedah-faedah ini mungkin didahului oleh kelemahan jangka pendek dalam prestasi eksport dan kesan positifnya hanya akan diperlihatkan pada hujung 2019.

“Pertumbuhan eksport dijangka sederhana kepada 1.3% daripada 1.6% yang diunjurkan bagi 2018,” katanya.

Penggunaan swasta akan menjadi penyumbang utama dalam permintaan domestik pada tahun depan tetapi pada kadar sederhana iaitu sebanyak 6.8% berbanding 7.5% yang dijangkakan pada tahun ini, berikutan iklim perniagaan yang agak mencabar memberi kesan ke atas kemampanan dalam pasaran buruh.

Agensi penarafan itu juga menjangkakan beberapa penangguhan dalam dasar inisiatif tertentu yang diumumkan bawah Belanjawan 2019, khususnya yang bertujuan bagi mengurangkan tekanan kos hidup bawah kumpulan pendapatan 40%, yang biasanya menunjukkan kecenderungan marginal yang lebih tinggi untuk berbelanja dengan pendapatan tambahan.

RAM Ratings berkata rangsangan seperti ini dijangka akan menangani kesan daripada cukai tambahan dan levi ke atas perbelanjaan seperti cukai ke atas minuman manis, levi pelancongan ke luar negara dan kenaikan bagi cukai keuntungan hartanah yang akan memberi kesan kepada pemilik aset serta awam,

Dasar monetari Bank Negara (BNM) pada tahun hadapan diramal tidak dipengaruhi secara ketara oleh inflasi teras yang dijangka meningkat kepada 2.7% berbanding hanya 1% pada 2018 berikutan pengenalan subsidi bahan api tersasar serta kesan limpahan yang berterusan daripada cukai jualan dan perkhidmatan.

“Keseimbangan yang nipis antara pertumbuhan dan tekanan aliran keluar modal akan kekal penting kepada keputusan BNM mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2019,” kata RAM Ratings.

Agensi penarafan itu berkata tahap OPR semasa sebanyak 3.25% dianggap optimum pada masa sekarang dan sewajarnya, mampu memberikan sokongan kepada kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS pada tahun tersebut.

Keadaan ini akan berkekalan di tengah-tengah tekanan berterusan yang terkait dengan aliran modal keluar dan prospek pertumbuhan yang lebih lemah berserta dengan kadar inflasi yang tinggi dan lebihan baki akaun yang lebih terhad sebanyak 2.5% KDNK berbanding 2.8% pada 2018.

“Kami menjangkakan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS akan sederhana pada sekitar 4.10 – 4.20 pada 2019, lemah sedikit daripada 4.00 yang direkodkan untuk 2018,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.