PAS Sokong Tokmat, Tak Letak Calon Di PRK DUN Rantau

SHAH ALAM – PAS menyatakan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mempertahankan kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, sokongan PAS diterjemahkan menerusi tindakan parti itu tidak akan meletakkan calon mereka di DUN berkenaan bagi memberi laluan kepada UMNO, sebagaimana yang dilakukan sewaktu PRU14 lalu.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu pun kita tak bertanding dan kerusi itu adalah kerusi tradisi Tok Mat (nama gelaran kepada Mohamad),” katanya dipetik Berita Harian.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu juga tidak menolak bahawa PAS akan mengerahkan jentera bagi membantu kempen pilihan raya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

“Kita akan beri sokongan sama ada undi atau mungkin kalau perlukan jentera kita, kita akan turunkan,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau kosong dan mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU14 lalu sebagai tidak sah.

Hakim Azimah Omar dalam penghakimannya pagi tadi turut mengarahkan satu PRK bagi kerusi itu diadakan serta mereta.

Katanya, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan bagi seseorang calon atau pencadangnya mempunyai pas untuk memasuki pusat penamaan.

Pada penamaan calon PRU14 April lalu, Mohamad secara rasmi diumumkan menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan.

Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ekoran itu Streram  memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.