Malaysia Dipimpin Oleh Kerajaan ‘Kakistokrasi’, Kata Annuar Musa

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan ‘kakistokrasi’ ekoran tidak berkemampuan menunaikan janji-janji dalam manifesto mereka untuk membela rakyat.

Kakistokrasi adalah satu istilah untuk merujuk sebuah pemerintahan orang-orang terburuk atau pemerintahan orang-orang tidak layak dan tidak berkemampuan.

Annuar berkata, sepanjang enam bulan PH mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN), bukan sahaja janji tidak ditunaikan, bahkan semakin banyak kerosakan yang berlaku.

“Bukan sahaja janji 100 hari yang mereka sendiri buat, mereka gagal melaksanakan malah sudah setengah setahun mentadbir semakin banyak kerosakan berlaku. PM bersendirian..para menteri bergelumang dengan masalah prestasi..

“Hutang negara makin besar, harga barang semakin naik, harga komodi getah dan sawit merudum, ekonomi menguncup,” katanya dalan satu hantaran di Facebook. 

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, kerajaan PH juga kini dilihat lunak dalam perkara-perkara membabitkan agama Islam dan Institusi Beraja.

“Sementara itu mereka mencoba menularkan ideologi halus mereka dengan melukakan Islam, menghimpit orang luar bandar, menghina raja raja dan apa saja yang kita bina selama ini.

“Perlembagaan cuba diracuni, Deklarasi Setapak cuba diseludup masuk dan dibaja semula

“Peringatan Tun Daim (Zainuddin) adalah tepat. Menjadikan kesalahan kerajaan terdahulu tidak boleh di jadikan “excuse” buat selama lamanya dan cuba menutup tugas sebenar sebuah kerajaan,” kata Annuar.

Tambah beliau, tindakan kerajaan PH pada ketika ini yang lebih cenderung mengheret pemimpin UMNO ke mahkamah bukanlah sesuatu yang ingin dilihat oleh rakyat.

“Rakyat menuntut prestasi. Yang rakyat mahu ialah pembelaan utk mereka. Pesawah yang padinya rosak dek tengkujuh, penoreh yang susu getah merosot, pemandu teksi yang digodam Grab, ibu bapa yang perlu berbelanja di awal persekolahan, ibu tunggal yang menyara anak, penjaja kecil yang merosot jualannya, pegawai kerajaan yang terus diherdik dan dihimpit kos sara hidup, peneroka yang terus tertipu..

“Kini rakyat mula bangkit. Tsunami bermula. Gelombang rakyat (gelora) tidak boleh dihalang lagi.

“Ini bukan lagi soal UMNO. INI adalah soal rakyat keseluruhannya. Soal yang terkait semua orang.

“Benarlah, kakistokrasi adalah perosak sebuah negara bangsa. Mereka menjadi tikus tikus membaiki labu,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.