Kerajaan PH Masih Anggap Mereka ‘Orang Baharu’ & Berlagak, Kata Ku Li

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini menganggap mereka masih ‘orang baharu’ dan tetap berlagak sebagai pembangkang meski pun sudah menjadi pemerintah dan menteri kerajaan.

Demikian pendapat yang didakwa oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razeleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li selain menyatakan kerajaan PH masih lagi kelam kabut dan gagal menunaikan janji.

Seperti laporan Berita Harian, Ku Li mengatakan pemimpin PH masih gagal menyesuaikan diri sebagai kerajaan yang memerintah dan masih lagi mengambil masa yang lama untuk memahami peranan masing-masing.

“Begitu juga kita sendiri (UMNO) pun nak sesuaikan diri sebagai pembangkang masih lagi janggal,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, keadaan itu juga jelas apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui tidak dapat menunaikan semua janji.

Katanya, banyak perkara yang dicadang termasuk janji dalam manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang menelan perbelanjaan besar, gagal dilunaskan.

“Kalau nak hapuskan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turun harga minyak amat sukar untuk kerajaan PH berbuat demikian.

“Kita mengakui setengah daripada rakyat menyesal termasuk pelajar universiti hingga mereka bertindak berarak ke Parlimen membuat bantahan terhadap perkara itu.

“Ada kalangan mereka marah seolah kena tipu kerana mereka berharap golongan yang berpendapatan sampai RM4,000, baru kena bayar pinjaman itu. Sekarang ini, kerajaan tetapkan gaji minumun RM1,050 pun sudah kena bayar,” katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.