Demi Perjuangan Dan Parti, Rafizi Pilih Untuk Mengalah

SHAH ALAM – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengambil pendirian untuk beralah kepada pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti itu.

Menerusi satu kenyataan, Rafizi berkata keputusan tersebut diambil kerana meletakkan kepentingan perjuangan dan parti melebihi segala-galanya.

Ujar Rafizi, walaupun niat asalnya mahu memikul amanah dan berkhidmat untuk rakyat, namun jika akhirnya parti dijerumuskan ke dalam ketidaktentuan dan persengketaan yang berpanjangan, ia bertentangan dengan niat asal beliau.

“Saya mengambil kira kesan kekalahan kepada Saudara Azmin adalah lebih besar berbanding jika saya mengalah. 

“Beliau seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik.

“Sebab itu, saya menjangkakan penyokong-penyokong beliau lebih sukar menerima kekalahan berbanding dengan saya,”katanya.

Rafizi juga menjelaskan, beliau mempunyai asas yang kukuh apabila mendesak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengadakan pemilihan semula di beberapa cabang ‘kontroversi’ sebelum ini.

“Jika pemilihan semula diadakan di Julau (dan besar kemungkinan saya akan menang), watak seperti Vernon Kedit ini akan mengheret parti ke peringkat Pendaftar Pertubuhan dan mahkamah.

“Akhirnya, kita tidak ubah seperti pepatah Melayu ‘menang sorak, kampung tergadai,” katanya yang mendakwa Vernon adalah orang kuat Azmin.

Tambahnya lagi, sekiranya pergolakan dari pemilihan parti ini berpanjangan melangkaui Kongres Nasional hujung minggu ini, bebannya akan ditanggung oleh bakal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau akan dituduh tidak berkemampuan mengendalikan parti. Beliau akan dikritik kerana dilihat tidak mampu mendisiplinkan pimpinan parti di bawah.

“Saya benar-benar yakin kalau kita bawa perubahan yang mengangkat idealisme reformasi yang kita perjuangkan, nasib rakyat akan menjadi lebih baik. 

“Dan saya juga yakin orang yang paling baik untuk melaksanakan idealisme reformasi itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-8.

“Oleh itu, saya membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik dan mengalah lebih awal,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.