Akmal Di’boo’ Perwakilan Selepas Diumum Menang Ketua Pemuda PKR

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam di’boo’ perwakilan sebaik sahaja Jawatankuasa Pemilihan Pusat mengumumkan namanya sebagai pemenang dan ketua Pemuda PKR (Angkatan Muda Keadilan / AMK) yang baharu bagi penggal 2018-2021.

Hampir separuh perwakilan Pemuda PKR bertindak menunjuk perasaan dan mem’boo’ pengumuman kemenangan Akmal kerana mereka memihak kepada Dr Afif Bahardin, dari kem Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali.

Mereka turut melaungkan nama Dr Afif dan menuduh keputusan yang diumumkan sebagai satu penipuan sebelum bertindak meninggalkan dewan Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam.

“Kami nak Afif menang! Keputusan penipu! Adakan pemilihan semula,” kata penyokong Dr Afif.

Sementara itu, menerusi ucapan sulung sebagai Ketua AMK yang baharu, Akmal berkata, semua pihak perlu bertenang dan menerima keputusan tersebut.

“Dalam ucapan ini saya harap dalam sepanjang tempoh saya memegang jawatan ketua AMK, saya mohon kerjasama, pertolongan kawan-kawan, mohon agar tanggungjawab ini dipikul bersama.

“Ini bukan terletak di atas bahu saya semata-mata. Kerana kalau kita gagal dalam tempoh empat tahun ini, kita semua gagal,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, FMT melaporkan Dr Afif yang tewas tipis kepada Akmal, meluahkan rasa berang dengan budaya ‘cai’ yang semakin membarah dalam PKR.

“Di awal pemilihan saya dan kawan-kawan tawarkan macam-macam dalam manifesto. Masuk minggu kedua, tiada siapa cakap pasal manifesto. Yang dibicara ialah…(Afif tunjuk kertas calon-calon),” katanya.

Simbolik kepada luahan kemarahannya, Dr Afif mengangkat satu kertas memaparkan ‘cai’ calon pilihan Rafizi Ramli bagi pemilihan itu lalu mengoyaknya dihadapan ratusan perwakilan Pemuda PKR yang hadir.

“Ada yang pegang kertas ‘cai’, belakang resit, pelekat, biasalah taktik. Inilah yang kita pertahankan habisan-habisan, bertumbuk-tumbuk. Bukan lagi bicara idealisme atau siapa buat kerja dan layak tak layak.

“Senipis inilah nilai PKR (Afif koyak kertas calon-calon),” luahnya lagi. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.