Tiada Hotel Di KL, Putrajaya, Labuan Anti-Hijab Kata Menteri

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan setakat ini belum ada lagi mana-mana hotel di sekitar ibu negara selain Putrajaya dan Labuan yang bersifat anti-hijab.

Menurut Agensi, menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sekiranya ada hotel mengamalkan diskriminasi sedemikian, tindakan tegas boleh diambil oleh tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyelia tiga wilayah itu.

Beliau bahkan mengeluarkan arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik balik lesen jika ada hotel di ibu negara yang didapati mela­rang wanita Islam bertudung be­kerja di bahagian khidmat pe­langgan.

Tengku Adnan turut meluahkan perasaan kesal sekiranya terdapat pihak hotel berbuat demikian dan memberi jaminan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha hotel yang didapati mengamalkan polisi pelik itu.

“Saya tidak faham kenapa mereka tidak bagi wanita bertudung menjadi ‘front liner’. Kita akan akur kepada arahan daripada pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Buat masa ini di Wilayah Persekutuan, semuanya tiada masalah. Semua yang bertudung boleh pakai,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar di Parlimen semalam, lapor MD.

Beliau mengarahkan semua PBT di seluruh negara untuk segera menarik balik lesen operasi mana-mana hotel yang melarang wanita Islam berhijab untuk be­kerja di bahagian khidmat pe­langgan konon mengikut polisi ditetapkan.

Terdahulu, Tengku Adnan hadir merasmikan acara Konvensyen Strata Yang Mampan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.