Angelina Jolie Kutuk Keganasan Seksual Ke Atas Wanita Rohingya

DHAKA – Selebriti Angelina Jolie mengutuk keganasan seksual dilakukan ke atas wanita Rohingya di Rakhine, Myanmar, di mana operasi tentera menentang pemberontakan menyaksikan ratusan ribu pelarian etnik itu lari ke Bangladesh.

Jolie, wakil khas Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) memberitahu delegasi Bangladesh di Vancouver, Kanada, beliau bercadang melawat mangsa keganasan seksual Rohingya di negara itu, lapor BH.

“Beliau kemudian menyebut dalam ucaptamanya mengenai keganasan seksual dihadapi hampir setiap wanita Rohingya yang lari ke Bangladesh dan mengutuk konflik bersenjata di Myanmar,” kata Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan hari ini.

Ia bagaimanapun tidak memberi butiran mengenai tujuan kunjungan Jolie itu.

Lebih 600,000 pelarian Islam Rohingya lari dari Myanmar yang majoriti Buddha sejak 25 Ogos lalu, didorong tindakan ketenteraan yang disifatkan pegawai atasan PBB sebagai kes klasik ‘pembersihan etnik.’

Tuduhan tindakan merogol beramai-ramai secara terancang dan jenayah lain ke atas kemanusiaan dipersalahkan ke atas tentera Myanmar Ahad lalu oleh seorang pegawai kanan PBB yang melawat kem Bangladesh di mana pelarian Rohingya berlindung.

Wakil khas Setiausaha Agung PBB berhubung keganasan seksual dalam konflik, Pramila Patten berkata, beliau akan mengemukakan tuduhan ke atas tentera Myanmar di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Di Parlimen semalam, Perdana Menteri Sheikh Hasina berkata, Bangladesh akan mengatasi halangan bagi menyelesaikan krisis Rohingya dengan bantuan masyarakat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.