Jamal: Saya Tak Sediakan Makanan, Baju Merah ‘Lapar’ Sabtu Ini

Pemimpin gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini berkata beliau tidak dapat menjamin tindakan pengikutnya yang ‘lapar’ semasa perhimpunan BERSIH5 pada Sabtu ini.

 

“Saya tidak pasti terhadap penyokong saya kerana siapa yang hadir pada hari itu, saya tidak sediakan makanan.

 

“Pasti yang datang pada hari itu, lapar,” katanya pada sidang akhbar di luar bangunan PWTC di Kuala Lumpur.

 

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata demikian ketika ditanya sama ada himpunan Baju Merah yang diterajuinya bagi menentang BERSIH akan kekal aman.

 

Sebelum ini, BERSIH berikrar himpunan anjurannya di Kuala Lumpur pada Sabtu ini adalah aman.

 

Beliau juga mengulangi bahawa gerakan Baju Merah akan mematuhi perancangan mereka untuk menghalang penyokong BERSIH daripada berhimpun, berucap, menyebarkan pembohongan dan akhirnya menyemai kebencian terhadap kerajaan.

 

Bagi dirinya, Jamal berkata beliau berharap akan bertembung dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Tony Pua, serta juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari berkenaan.

 

“Jika saya boleh bersalaman dengan Tun Mahathir supaya dapat penuhi ‘janji’ saya,” katanya tanpa mengulas lanjut.

 

Pada perhimpunan anti-BERSIH di Kapar bulan lalu, Jamal berkata beliau kesal kerana pernah bersalaman dan mencium tangan Mahathir pada masa lalu.

 

“Jika saya bertemu dengan beliau sekarang saya akan ludah tangannya,” kata Jamal kepada penyokongnya di perhimpunan di Kapar, Selangor.

 

Ketika ditanya mengenai rancangan Sabtu ini, Jamal hanya mengulangi bahawa Baju Merah akan berada di mana sahaja penyokong BERSIH berkumpul.

 
“Saya tidak akan beritahu. Ini strategi kami. Kami tidak boleh dedahkan lebih awal.

 

“Kami tidak akan benarkan BERSIH melakukan apa yang kita anggap sebagai pembohongan, fitnah dan lain-lain,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.