Lelaki Baling Daging Babi Ke Kawasan Surau Ditangkap

BATU PAHAT – Seorang lelaki yang bertindak biadab membaling daging babi ke dua buah surau pada Sabtu dan Ahad lalu di Jalan Pantai di sini, menerima padah apabila dia dicekup ketika membawa plastik berisi sisa daging berkenaan, malam tadi.

 

Difahamkan lelaki berusia 46 tahun itu membaling tiga ketulan kecil daging babi ke beranda Surau Arab pada Sabtu lalu dan mengulangi perbuatan itu keesokannya apabila jemaah surau menemukan empat lagi cebisan berdekatan tempat mengambil wuduk.

 

Sementara itu, jemaah Surau Al-Falah yang terletak kira-kira 600 meter dari Surau Arab turut terkejut apabila menemukan seketul daging babi sebesar tapak tangan di atas lantai pekarangan surau yang dipercayai oleh perbuatan individu sama pada Sabtu lalu.

 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek ditahan pukul 11.15 malam tadi selepas pihak polis yang melakukan rondaan mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg plastik berwarna merah.

 

“Suspek sempat melarikan diri ketika dihampiri anggota polis untuk diperiksa dan berlaku sedikit pergelutan sebelum dia berjaya ditahan bersama plastik berisi ketulan daging babi.

 

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana didorong oleh suara halus yang menyuruhnya bertindak sedemikian dan kita syak ia kesan halusinasi akibat dadah kerana suspek mempunyai 11 rekod berkaitan dadah,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

 

Bagaimanapun, pihak polis akan melakukan siasatan lanjut kerana khuatir sekiranya ada unsur-unsur lain yang mendorong perbuatan tersebut memandangkan melibatkan sensitiviti agama.

 

“Setakat ini tiada sebarang insiden sama ada pergaduhan dan sebagainya antara jemaah dan penduduk sekitar, unsur perkauman juga tidak dikesan dalam kes ini,” tegasnya.

 

Beliau berkata, suspek kini direman selama seminggu dan akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental serta kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

 

Sementara itu, Setiausaha Surau Al-Falah, Alwi Mohd. berkata, kejadian berkenaan disedarinya ketika pergi ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan terlihat beberapa ketulan daging di beberapa tempat di kawasan surau.

 

“Pada mulanya, kami tidak menganggap apa-apa kerana menyangka daging itu dibawa oleh kucing atau haiwan lain ke dalam surau ini, tetapi kami mula tidak sedap hati kerana berlaku berulang kali di dua buah surau berdekatan,” katanya yang bersyukur apabila individu terlibat berjaya ditahan polis. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.