Dua Sekolah Terlibat Banjir Di Kuala Krai Catat Keputusan Cemerlang UPSR

KUALA KRAI – Bencana banjir yang melanda jajahan ini pada tahun lepas hingga menyebabkan pelbagai kerosakan terutama di institusi pendidikan, nyata tidak menghalang dua sekolah mencatatkan pencapaian lulus 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Selasa.

 

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman berkata dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Biak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gajah.

 

“Ia turut meletakkan kedua-dua sekolah ini dalam kalangan 10 sekolah yang mencapai peratus Lulus Am di Kelantan.

 

“Kita akui selepas berlaku banjir, ia sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran dan persekolahan namun hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang tahun, masalah berkenaan dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahun Enam di SK Banggol Guchil di sini, Selasa.

 

Hadir sama Guru Besar SK Banggol Guchil Mohd Nawi Deris dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Guchil Zulkifli Yacob.

 

Sementara itu, Guru Besar SK Biak Ismail Yaakob berkata musibah banjir Disember tahun lepas tidak dijadikan alasan oleh pihak sekolah untuk membuat persediaan menghadapi UPSR tahun ini.

 

“Persediaan awal telah dibuat dengan sebaik mungkin dan semuanya berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kekurangan selepas banjir dari segi kelengkapan barang dalam kelas, tapi semua it telah kami atasi.

 

“Tiada alasan sebab banjir kami tidak boleh mengajar dan murid-murid tidak dapat belajar sebab kami telah aturkan banyak program bagi memberi suntikan motivasi kepada murid-murid di sekolah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Beliau berkata SK Biak dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Kategori Pedalaman dan ia merupakan pencapaian ketiga sekolah itu lulus semua subjek selepas 2011 dan 2013. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.