Bajet 2016: Ahli Parlimen PAS Tidak Sepakat Buat Keputusan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PAS dilihat tidak sepakat dalam membuat keputusan apabila tiga daripada 14 ahli Parlimen parti itu menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 (Bajet 2016) di peringkat dasar.

 

Tiga ahli Parlimen tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pasir Putih Datuk Nik Mazian Nik Mohamad dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah.

 

Mahfuz berkata, beliau menolak Bajet 2016 kerana tidak mahu ia membebankan rakyat.

 

“Saya undi menolak kerana saya sayangkan rakyat. Saya tidak mahu bajet yang membebankan rakyat. Rakan-rakan lain mereka tidak mengundi menyokong bajet, sama sahaja.

 

“Bagi saya bajet ini sangat tidak memberikan kebaikan sepenuhnya kepada masyarakat dan rakyat negara kita. Saya undi untuk rakyat,” kata Mahfuz.

 

Malah, Mahfuz juga tidak gentar untuk berdepan dengan sebarang tindakan atas tindakan tersebut kerana menyifatkan keputusan yang dibuat beliau tidak berbeza dengan keputusan yang buat partinya.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz enggan mengulas keputusan tiga ahli Parlimen itu.

 

Daripada 14 ahli Parlimen PAS, empat tidak hadir pada sesi undian tersebut manakala tujuh lain kekal dengan keputusan berkecuali.

 

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengambil langkah berkecuali serta tidak akan menyokong usul penolakan Bajet 2016.

 

Katanya, kesemua Ahli Parlimen PAS juga telah sebulat suara bersetuju untuk tidak menyertai usul itu.

 

“Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi membangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

 

“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” kata Abdul Hadi.

 

Pada sesi undian di peringakat dasar itu, 128 ahli Parlimen menyokong Bajet 2016 di mana Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menyatakan sokongan beliau.

 

75 ahli Parlimen menolak dengan pecahan 30 daripada PKR, 35 DAP dan enam Parti Amanah Negara (Amanah).-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.