Rafizi Malukan Pembangkang

Kuala Lumpur – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kecewa dengan sikap anggota Parlimen Pandan (PKR), Rafizi Ramli yang tidak hadir di Dewan Rakyat ketika beliau sepatutnya mengemukakan usul terhadap Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Malah, kata Pandikar, beliau masih belum terima dokumen daripada Rafizi berhubung dakwaan kenyataan Ahmad Maslan yang dikatakan telah mengelirukan Dewan Rakyat.

“Malangnya, apabila saya pada hari ini telah bersedia untuk membuat ‘ruling’, Pandan tidak hadir dalam mesyuarat.

“Saya difahamkan ahli Yang Berhormat Pandan kurang sihat tetapi dokumen-dokumen yang saya tunggu sejak daripada Khamis sampai sekarang pun belum sampai di meja saya.

“Daripada Kementerian Kewangan telah saya terima dokumen-dokumen tersebut,” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Rafizi pada Khamis menggesa speaker membawa Timbalan Menteri Kewangan itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan merujuk kepada peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80A kerana telah memberikan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan dewan semasa penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015.

Pandikar bagaimanapun menangguhkan ke hari Isnin usul tersebut kerana pihaknya memerlukan masa untuk menerima jawapan dan dokumen daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) sebelum memutuskan keputusan itu.

Pandikar turut menegur sikap pihak yang pembangkang yang sering buat kecoh di Dewan Rakyat apabila seseorang menteri itu tidak hadir sedangkan pada masa yang sama mereka juga melakukan perkara yang sama.

“Apabila menteri tidak hadir, jangan tanya soalan kenapa tidak hadir kerana adakalanya bahawa sebelah sana (pembangkang) pun ada yang tidak hadir.

“Tetapi yakinlah bahawa Spekar tetap hadir dengan timbalan-timbalannya.

“Tidak ada satu persidangan pun yang kami bertiga tidak hadir walaupun hampir setiap hari mendengar segala hujah-hujah yang kita pernah dengar berpuluh kali,” katanya.

Dalam sesi soal lisan pagi tadi, 10 soalan tidak terjawab disebabkan ketidakhadiran menteri yang bertanggungjawab dan ahli Parlimen yang mengemukakan soalan.

Dua menteri yang tidak berada di dalam dewan, Menteri Pengangkutan dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Lapan ahli Parlimen yang tidak hadir terdiri daripada lima daripada pembangkang iaitu ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng; ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun; ahli Parlimen PKR Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas; ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; dan ahli Parlimen PAS Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Manakala tiga ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak hadir, ahli Parlimen Sepitang, Datuk Sapawi Ahmad Wasali; ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.