Najib: Kerajaan Kaji Cadangan Pelabuhan Sabah Sebagai Hab Pindah Kapal Timur

Kota Kinabalu – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad memberi jaminan kerajaan akan mengkaji cadangan Sabah untuk menjadikan Pelabuhan Sabah di Sepanggar dekat sini sebagai hab pindah kapal timur Malaysia.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dipertimbangkan memandangkan ia juga dapat menangani isu bayaran pengangkutan fret di negeri itu.

“Untuk menjadi seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Sabah perlu produktif. Tetapi biarlah kami (kerajaan) mengkaji cadangan (mengenai Pelabuhan Sabah sebagai hab timur),” kata beliau ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-25 Parti Liberal Demokratik di sini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden LDP Datuk Teo Chee Kang supaya menaikkan status Pelabuhan Sabah agar setanding dengan Pelabuhan Klang.

Najib turut memberi jaminan yang kerajaan akan mengkaji penetapan harga bagi bayaran pengangkutan fret di Sabah, yang kebanyakan perniagaan di negeri itu menyalahkan pelaksanaan dasar kabotaj.

Dasar berkenaan diwujudkan bagi melindungi syarikat perkapalan tempatan tetapi banyak perniagaan menyatakan ia menimbulkan perbezaan harga barangan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

“Dasar berkenaan mungkin bukan alasannya. Tetapi jika syarikat perkapalan tempatan menetapkan harga, maka merekalah pesalahnya,” kata beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Teo, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas Sabah berkata Pelabuhan Sabah boleh merangsang pertumbuan ekonomi di kawasan timur.

Ini, kata beliau adalah kerana Kota Kinabalu berdekatan dengan ekonomi kuasa besar di timur seperti China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun, serta dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.