Masyarakat Cina Perlu Sensitif Terhadap Melayu

Kota Kinabalu – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan masyarakat Cina supaya sensitif terhadap orang Melayu seperti mana orang Melayu bertindak sama terhadap kaum tersebut bagi memastikan negara terus aman dan harmoni.

Malah, menurut Perdana Menteri, pentingnya kedua-dua kaum itu termasuk kaum lain memiliki sikap ‘mutual respect’ atau saling hormat-menghormati antara satu sama lain berdasarkan kepada tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.

Beliau turut menegaskan, Malaysia percaya kepada konsep kepelbagaian serta integrasi kaum dan bukannya asimilasi, khususnya kaum Cina yang diberikan hak mengamalkan budaya, identiti, sekolah dan bahasa ibunda mereka.

“Sebagai pulangannya, kita mahu mereka (kaum Cina) memahami kepada keperluan bersatu dalam negara ini. Seperti mana kita (orang Melayu) sensitif tentang kaum Cina, masyarakat Cina juga perlu sensitif terhadap orang Melayu, itu kita rujuk kepada mutual respect (hormat-menghormati).

“Apabila kita ada mutual respect, akan wujud negara yang aman dan harmoni. Kita mungkin tidak perlu kepada satu undang-undang (Akta Keharmonian Nasional), kita perlu hormat-menghormati antara satu sama lain. Tentu juga kita perlu kepada undang-undang, tetapi pentingnya atau amat penting kepada nilai-nilai keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Musa Aman serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan barisan kepimpinan komponen BN.

Najib memberitahu, masyarakat Cina yang sering mengadu soal kepentingan mereka di negara ini khususnya dalam soal pendidikan perlu melihat negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang langsung tidak ‘membuka’ sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negara berkenaan.

“Di Singapura pun, tiada sekolah Cina. Cuma di Malaysia sahaja ada sekolah Cina. Itu konsensus yang dibuat oleh pemimpin kita terdahulu yang dipimpin oleh UMNO. Ini kerana kita percaya kepada konsep kepelbagaian kaum. Tetapi perlulah ada give and take (tolak ansur), taat setia kepada negara ini,” tegasnya.

Beliau turut mengulangi komitmen BN untuk terus membenarkan sekolah dan pendidikan Cina ‘bertapak’ di negara ini.

“Tetapi, apa salahnya diberikan penekanan kepada mempelajari bahasa kebangsaan? Meletakkan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu dengan fasih, bukannya bahasa pasar. Saya perlu beritahu semua, semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing, China, baru-baru ini, kerajaan China memberikan saya pegawai perhubungan yang fasih dalam bahasa Melayu.

“Para pegawai China di pejabat luar negara di sana mempelajari bahasa Melayu. Dan jika kamu (masyarakat Cina) menekankan pembelajaran bahasa kebangsaan di sekolah Cina dan orang Melayu pula belajar bahasa Mandarin, apa salahnya?

“Inilah, bidang pendidikan tidak perlu dipolitikkan, pendidikan bukannya politik. Pendidikan merupakan alat untuk membina identiti bangsa. Kita perlu elak daripada mempolitikkan pendidikan. Jadikan pendidikan untuk membina kekuatan dan perpaduan Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua parti termasuk UMNO supaya mengetepikan ekstremisme, sebaliknya mengamalkan sikap kesederhanaan. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.