Masjid Dan Politik Machiavelli

Oleh: Edwin Michael

Sehari dua ini kecoh di dalam media sosial berhubung rakaman video seorang pemimpin muda politik kiri yang bukan beragama Islam memberikan ceramah politik dalam sebuah surau berdekatan dengan Universiti Utara Malaysia. Maka, muncullah perdebatan melibatkan rakan-rakan maya didalam laman sosial iaitu wajar atau tidak seseorang individu yang bukan beragama Islam menggunakan tempat ibadat orang Islam untuk menyebarkan propaganda ideologi politiknya?

 

Politik Matlamat Menghalalkan Cara

Merujuk kepada buku tulisan Dr. Yusof Qardawi yang bertajuk “Fatwa Masa Kini” mukasurat 335-343, beliau dengan jelas menulis bahawa masjid merupakan pusat dakwah, memerintah dan tarbiah masyarakat sewaktu di zaman Nabi Muhammad S.A.W. Masjid di zaman Rasullah S.A.W bukan sahaja berfungsi sebagai markas politik tetapi juga memainkan peranan yang sangat penting sebagai markas penyebaran ilmu Islam.

Ini dengan jelas membuktikan bahawa tidak wujudnya pemisahan antara apa yang diistilahkan sebagai agama dan politik. Kegemilangan ini berterusan sewaktu di zaman Khulafa Ar Rashidin dan Abu Bakar as-Siddiiq. Malah, salah satu kewajiban Islam iaitu ‘an-nasiihah’ dianjurkan melalui masjid dimana berfungsi sebagai tempat penyebaran kebenaran, kebaikan serta kelebihan di dalam seluruh kehidupan manusia, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi mahupun politik.

Maka, adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik? Dr. Yusof Qardhawi menyatakan bahawa politik bukanlah sesuatu yang mungkar dan kotor apabila berpolitik dibawah prinsip-prinsip Islam serta melingkari nilai-nilai Islam itu sendiri.

Politik yang ditegah adalah politik berideologikan falsafah ‘Machiavelli’ apabila matlamat menghalalkan cara serta mengenepikan nilai-nilai Islam (halal dan haram). Walaupun Dr. Yusof Qardawi berpendapat politik pembangkang yang menentang kerajaan tidak ditegah secara mutlak dan tidak juga diharuskan secara mutlak namun apa yang ditegah secara keras adalah politik yang mengaibkan individu-individu lain yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah serta pengucapan politik yang mengandungi kata-kata nista. Perkara seumpama ini tidak harus terjadi didalam masjid. Namun, masjid boleh digunakan untuk menegur dan memperbetulkan apa jua polisi kerajaan yang melanggar syariat Islam.

 

Lemahkah Islam di Malaysia?

Kaitan Masjid dan politik di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru dinegara ini kerana umum mengetahui bagaimana dua buah parti politik utama yang berlandaskan Islam iaitu UMNO dan PAS telah sekian lama menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penyebaran ilmu politik mereka. Namun, belum ada mana-mana pihak membincangkan secara konseptual akan hak yang ada pada seorang bukan Islam dalam menggunakan masjid atau surau dengan niat untuk menyebarkan sentimen politik yang bersifat hasut dan tidak memupuk pemikiran intelektual.

NGO-NGO Islam seperti Perkasa dan Isma dilihat tidak bertaring apabila membicarakan isu sebegini dan lebih banyak menghabiskan masa bertekak isu-isu yang remeh dan tidak mendatangkan faedah kepada umat Islam. Sementara UMNO dan PAS dengan survival politik mereka, adakalanya dilihat celaru dengan apa yang mereka perjuangkan. Kalau menuduh kerajaan UMNO halalkan judi dan arak, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak kurang hebatnya apabila halalkan pusat hiburan dan rumah urut. Maka, agenda Islam dalam perjuangan parti politik adalah berbeza namun apakah makna agenda Islam itu kiranya sensitiviti agama dilacurkan?

 

Yang Salah Tetap Salah

Adalah harus diakui bahawa rumah ibadat muslim tidak seharusnya diheret dalam kancah politik kepartian mana-mana pihak. Menjual ideologi parti dengan cara yang tidak menguntungkan mana-mana pihak adalah sesuatu yang bersifat ditegah. Jika andaian bahawa isu ceramah politik disebuah surau di negeri Kedah itu adalah atas dasar mewujudkan kesedaran intelektual golongan mahasiswa maka apakah wajar nilai-nilai Islam yang menitikberatkan aurat digadaikan begitu sahaja?

Apabila isu ini dieksklusifkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik serta untuk survival politik mereka maka ketika dengan pantas kita akan labelkan mereka sebagai rasisme, ekstermik, fanatik agama sedangkan pada awalnya, siapa yang memberikan ruang untuk berlakunya isu ini? Pihak pengurusan surau yang memberikan kebenaran untuk mengadakan ceramah politik ini atau pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang gagal bertindak?

Yang salah tetap salah dan tidak ada justifikasi yang boleh diberikan untuk perbetulkan kesalahan tersebut. Namun, insiden ini adalah satu peringatan buat masyarakat muslim dinegara ini betapa pengertian masjid dan politik di zaman Rasullah S.A.W. dan kini sudah ada perbezaan yang luas. Kita kini lebih selesa dengan politik Machiavelli berbanding politik Islam dimana kita kini lebih selesa dengan menghalalkan sesuatu yang haram. Maka, disini terdetik persoalan sama ada UMNO mahupun PAS malah Perkasa mahupun Isma memiliki kemampuan untuk melawan politik Machiavelli ini ataupun sekadar menjadi badut dalam dunia politik ciptaan mereka sendiri?

Jika apa yang berlaku di Kedah ini dirasionalisasikan maka jangan marah pula andaikata suatu hari nanti pemimpin politik seperti Theresa Kok mahupun Nga Kor Ming memberikan ceramah politik mereka di dalam masjid dan ketika itu nasi sudah menjadi bubur!

Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.