Lolanopita Dipenjara 4 Bulan, Denda RM10,000

Seremban – Lolanopita Sadi, 40, ibu remaja kurang upaya yang ditemui dalam keadaan menyedihkan di Nilai, Jun lalu, dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Lolanopita sebelum ini membuat pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan anaknya dan boleh dihukum denda hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 33(c) akta yang sama kerana meninggalkan anaknya tanpa pengawasan dan boleh dihukum denda hingga RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Taman Semarak, Nilai, antara Januari lalu hingga 21Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan dan Shaheera Zulkifli.

Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui dalam keadaan menyedihkan di rumahnya ketika operasi Jabatan Imigresen pada 21 Jun lalu, dengan keadaan tubuhnya kurus kering, manakala keadaan bilik didiaminya sangat kotor, termasuk terdapat najis yang sudah kering.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.