Isu 1MDB: Ahmad Maslan Minta Rafizi ‘Tutup Buku’

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli digesa tidak lagi memanjangkan usahanya untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan berhubung kecelaruan isu surat sokongan untuk 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB).

Ahmad ketika ditemui di sidang medianya pada pagi tadi menyifatkan hal itu ‘sudah selesai’.

Rafizi bagaimanapun gagal menghadiri sidang Dewan Rakyat pada hari ini meskipun Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersedia membuat keputusan berhubung usul itu.

“Saya berpandangan isu ini sudah selesai walaupun menurut Speaker yang beliau masih ingin menunggu dokumen yang mahu dibawa Rafizi.

“Saya sudah melakukan dua kali sidang media, dan ini kali ketiga saya mengakui bahawa surat sokongan itu ada. Namun surat sokongan bukan jaminan terhadap bon RM9.6 bilion tersebut. Ia hanya surat sokongan. Perbezaan ‘letter of agreement’ dan ‘letter of support’ telah dijelaskan di dalam sidang media sebelum ini bahawa ia tidak menjamin hutang RM9.6 bilion itu,” tegasnya kepada media.

Rafizi sebelum ini menuntut agar Ahmad dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan kerana didakwa mengelirukan Dewan berhubung 1MDB dibawah Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80A.

Dakwa Rafizi, Ahmad berdolak-dalik tentang surat sokongan kerajaan ke atas hutang 1MDB sebanyak RM9.6 bilion manakala, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, mendakwa Ahmad memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan tidak menjamin hutang tersebut Khamis lalu.

Sebelum ini akhbar harian kewangan, The Edge melaporkan bahawa Ahmad Maslan mengaku kerajaan mengeluarkan surat sokongan kepada 1MDB tetapi ianya bukan jaminan pembayaran hutang.

Hal itu menyebabkan Rafizi mempersoalkan mengapa jaminan yang dikelaskan sebagai liabiliti kontingen tidak dizahirkan dalam penyata kewangan negara bagi tahun berakhir 31 Disember 2013 dan menganggapi ianya digunakan untuk menyorok hutang negara.

Ahmad kemudiannya menyifatkan tuduhan Rafizi itu sebagai tiada asas, yang hanya bertujuan memburukkan dirinya dan IMDB.

“Saya menganggap bahawa pembangkang tidak dapat berdiri di atas kenyataan dan tuduhan mereka. Jika mereka mahu panjangkan lagi isu ini, mereka kena bawa bukti dan nyatakan kepada Speaker.

“Terpulang kepada Rafizi, beliau yang tulis usul itu, maka beliau kena tarik semula kalau tidak mahu teruskan,” ujarnya sebelum mendoakan kesihatan Rafizi.

Sidang Dewan Rakyat pada sesi pagi tadi kecoh seketika apabila Speaker Dewan menegur Rafizi yang gagal untuk hadir, sementelah mengemukakan usul terhadap Ahmad.

Rafizi juga tidak membawa segala dokumen dan bukti yang diperlukan Amin sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.