Guan Eng Kesal Gesaan Kepada Hadi Disalah Tafsir Pemimpin PAS

Shah Alam – DAP membidas pimpinan PAS kerana bersikap negatif dan gagal memahami kepentingan desakannya supaya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghadiri mesyuarat pimpinan pusat Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sejak DAP secara terbuka mendesak Abdul Hadi menghadiri semua mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, pemimpin PAS memberikan respon yang negatif.

Katanya, jelas sekali PAS terlepas pandang bahawa niat sebenar Jawatankuasa Pusat Eksekutif (CEC) DAP adalah untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan, bahawa semua parti komponennya berpegang kuat pada janji serta komitmennya.

“Ini adalah permintaan yang mudah kerana Abdul Hadi adalah satu-satunya kuasa utama dalam PAS yang berupaya untuk membuat keputusan serta memiliki kuasa veto penuh terhadap sebarang keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Pusat PAS.

“Ini membuat kehadiran Abdul Hadi dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan amat wajib bagi membolehkan ia berfungsi secara senada sebagai satu pasukan, di samping menentukan dasar yang padu dan serasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Guan Eng berkata, beliau kesal pemimpin-pemimpin PAS cuba mengalih pandangan dengan mendakwa Pakatan boleh berfungsi tanpa Abdul Hadi dan mengeluarkan kenyataan tidak benar bahawa kehadiran beliau dalam Mesyuarat Pakatan adalah lebih rendah berbanding Abdul Hadi.

“Pemimpin Pakatan patut memeriksa fakta mereka sebelum membuat kenyataan Hadi menghadiri lebih banyak mesyuarat daripada saya,” tambahnya.

Minggu lalu DAP terus menggesa Hadi supaya menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Kemudian gesaan iu dikritik oleh beberapa pemimpin PAS yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar ekoran kegagalan Hadi untuk hadir disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Semalam Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula berkata ketiadaan Hadi pada mesyuarat Pakatan Rakyat bukan “masalah besar.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.