Dulu Syiah, Sekarang PasMa Keluh Husam Musa

Kuala Lumpur – Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mengatakan tuduhan beliau terlibat dengan Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) hanyalah fitnah semata-mata.

Husam berkata, tuduhan mengatakan Pasma ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa miliknya juga adalah tidak benar.

“Sebelum ini saya dituduh Syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali,” kata Husam seperti dilaporkan Harakahdaily, merujuk kepada Fathimah Zahra, isteri kepada menantu Nabi Muhammad, Ali Abi Talib.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat.”

Sebelum ini tersebar tuduhan mengatakan Husam berada di belakang Pasma dan kumpulan yang dilihat anti kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menggunakan perpustakaan miliknya semasa penubuhan badan itu.

Menurut Harakahdaily, Husam berkata fitnah tersebut sama dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis menulis artikel memburukkan pemimpin PAS.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” katanya.

Sebelum ini, Pasma menegaskan pihaknya tidak akan terlibat dalam sebarang urusan parti PAS, termasuk pemilihan jawatan tertingginya, walaupun ahlinya juga merupakan ahli PAS.

Presiden Pasma Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, bagi meredakan salah faham mengenainya, PasMa akan menemui kepimpinan PAS, diketuai naib presiden Salahudin Ayub minggu depan.

“Kami tidak akan campur urusan PAS. Masalah kepimpinan dalam Pakatan Rakyat (PR) akan ditentukan sendiri oleh mereka,” kata Phahrolrazi pada satu sidang media selepas selesai mesyuarat pertama PasMa di Petaling Jaya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan sama ada PasMa akan terlibat dalam pemilihan PAS yang bakal diadakan pertengahan tahun depan ekoran pendekatannya yang mahu PAS rapat dengan PR.

Phahrolrazi berkata cadangan pertemuan PAS dengan pemimpin PasMa membayangkan pengiktirafan parti Islam itu terhadap mereka dan mengubah kenyataan Majlis Syura Ulama sebelum ini yang meminta ahli PAS menjauhkan diri dari program PasMa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.